
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Affin Bank Bhd bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 meningkat kepada RM124.09 juta manakala perolehannya naik kepada RM543.93 juta berbanding suku yang sama tahun lepas.
Pada suku pertama 2024, keuntungan bersih Affin Bank sebanyak RM110.21 juta manakala perolehannya berjumlah RM504.54 juta.
Bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2025 terutamanya disebabkan peningkatan pendapatan bersih dan peningkatan perkongsian hasil daripada syarikat bersekutu.
“Pinjaman kasar dan pembiayaan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.1 peratus, mencapai nilai RM72.9 bilion daripada RM68 bilion pada 31 Mac 2024.
“Deposit pelanggan melonjak sebanyak 5.2 peratus kepada RM75.5 bilion manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) terus meningkat dengan ketara kepada 32.2 peratus setakat 31 Mac 2025 daripada 24.9 peratus pada 31 Mac 2024,” katanya.
Mengenai prospek, Affin Bank berkata tarif global Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kesan penurunan terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku akan datang jika ia dilaksanakan susulan Malaysia masih sangat bergantung kepada perdagangan luar.
“Walaupun ekonomi domestik kekal stabil secara keseluruhan pada suku semasa, terdapat risiko penurunan momentum eksport dan sentimen yang lebih berhati-hati dalam kalangan perniagaan.
“Industri perbankan kekal mempunyai modal yang kukuh dan mudah tunai tetapi mungkin berdepan tekanan terhadap keuntungan sekiranya aktiviti ekonomi semakin perlahan,” katanya.
Beliau berkata, bank akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan risiko yang berhati-hati selain kawalan kos yang berdisiplin dan penglibatan pelanggan dalam kalangan segmen utama.
Selain itu, Affin Bank kekal yakin dengan ketahanan francais utamanya dan akan menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan makroekonomi bagi menyokong pelanggan.
Bank itu juga mahu memastikan penciptaan nilai jangka panjang sambil membina asas untuk revolusi digital bagi meningkatkan strategi pemerolehan pelanggan.
“Saluran urus niaga kami kekal kukuh dengan banyak peluang penggabungan dan pengambilalihan hasil daripada ketidaktentuan dalam pasaran modal.
“Tumpuan kami terhadap perniagaan runcit serta perusahaan kecil dan sederhana akan dipacu daripada jumlah gaji selain akaun pelaburan tetap,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Wan Razly Abdullah berkata prestasi suku pertama 2025 mencerminkan pelaksanaan berterusan bank berkenaan melalui “AFFIN Axelerate 2028 (AX28) Plan”.
“Kami berbesar hati mengumumkan mengenai penarafan kredit antarabangsa pertama kami iaitu ‘A3’ daripada Moody’s Ratings yang mengukuhkan profil kredit kami selain meningkatkan kedudukan kumpulan dalam pasaran modal global.
“Ini meletakkan kami dalam kedudukan untuk mendapatkan pembiayaan dolar AS yang lebih kos efektif, mempelbagaikan asas pelabur dan membuka peluang pembiayaan merentasi sempadan yang strategik untuk menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya.
Beliau berkata momentum pertumbuhan CASA dijangka berkembang menjadi kos dana yang lebih rendah dengan pengembangan margin faedah bersih.
-Bernama