
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Affin Bank Berhad meningkat kepada RM540.19 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025) berbanding RM509.70 juta pada TK2024, didorong oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, peningkatan itu sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi serta peruntukan kerugian rosot nilai, berbanding pelarasan balik (write-back) kerugian rosot nilai pada tahun kewangan sebelumnya, menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.
Hasil bagi TK2025 meningkat kepada RM2.44 bilion daripada RM2.16 bilion sebelumnya.
Affin Bank memaklumkan bahawa bagi perbankan komersial, ia mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih rendah iaitu RM289.6 juta bagi TK2025 berbanding RM319.4 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan peruntukan kerugian rosot nilai sebanyak RM50.7 juta.
Bagi perbankan pelaburan, kumpulan Affin Hwang Investment Bank Berhad merekodkan PBT lebih rendah sebanyak RM103.2 juta pada TK2025, susut 31.5 peratus berbanding RM150.6 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya, berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi serta peruntukan kerugian rosot nilai sebanyak RM800,000.
Selain itu, bahagian insurans kumpulan melaporkan bahagian keuntungan sebanyak RM52.4 juta, merosot RM2.3 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya, terutamanya disebabkan keputusan pengunderaitan yang lebih rendah.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih menyusut kepada RM127.63 juta berbanding RM135.09 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM693.30 juta daripada RM557.67 juta sebelum ini.
Dari segi prospek, Affin Bank yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan, disokong oleh saluran perniagaan yang kukuh serta sumber hasil baharu susulan pengambilalihan terkini perniagaan pengurusan aset dan pelancaran produk baharu dalam francais pengurusan kekayaannya.
Dalam satu kenyataan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata kumpulan itu kini mempunyai saluran perniagaan kukuh bernilai kira-kira RM14 bilion, yang menyediakan landasan jelas menuju 2026.
“Penjenamaan semula dan kerjasama strategik kami terus memacu pemerolehan pelanggan. Momentum ini menyokong strategi pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kami pada 2025, dengan asas pelanggan berkembang 13 peratus kepada 1.74 juta.
“Selain itu, tumpuan kami terhadap kepelbagaian hasil membuahkan hasil. Pengembangan produk berstruktur Islamik dan khidmat nasihat perbankan pelaburan utama telah meningkatkan pendapatan pengurusan kekayaan dan nasihat kami, dan trend ini dijangka berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, bagi menghargai pemegang saham, beliau berkata lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 8.53 sen sesaham, berjumlah RM216 juta, mencerminkan kedudukan modal yang kukuh serta prestasi rekod TK2025 kumpulan itu.
-Bernama