
KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 (S1 2025) kepada RM143.18 juta berbanding RM133.15juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Hasil bagi suku yang dikaji turut meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM2.61 bilion daripada RM2.43 bilion sebelum ini, disumbangkan oleh pembukaan 246 cawangan baharu dari tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan cawangannya sebanyak 2,833 setakat 31 Mac, 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, peruncit barangan penambahbaikan rumah itu berkata peningkatan hasil telah membawa kepada kenaikan sebanyak 11.3 peratus dalam keuntungan kasar kepada RM314.5 juta, yang seiring dengan sedikit peningkatan dalam margin keuntungan kasar.
“Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan diskaun promosi dan pencapaian insentif bersasar pada S1 2025,” katanya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia kekal komited untuk mempromosikan harga mampu milik dan kebolehcapaian.
“Komitmen ini ditunjukkan melalui strategi penetapan harga kami, pemilihan senarai produk secara berhati-hati dan lokasi cawangan yang strategik bagi memastikan keperluan harian kekal mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.
“Melalui pendekatan ini, kami berusaha untuk meningkatkan kemudahan pelanggan dan menyokong isi rumah yang peka terhadap kos sambil mengukuhkan peranan kami sebagai jenama runcit yang dipercayai dan inklusif,” katanya.
Selain itu, syarikat berkenaan berkata ia menyasarkan untuk memulakan operasi bagi pusat pengedaran baharu di Cyberjaya, Selangor menjelang suku kedua 2025 (S2 2025).
“Dengan keluasan binaan kira-kira 120,000 kaki persegi, kemudahan itu dijangka menyokong kira-kira 200 cawangan di dalam dan sekitar kawasan Cyberjaya, di samping meningkatkan lagi kapasiti pengedaran platform e-dagang untuk jualan pukal kami,” katanya.
Syarikat itu juga mengisytiharkan dividen interim pertama 2.25 sen sesaham biasa, berjumlah kira-kira RM189.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 yang akan dibayar pada 9 Jun, 2025.
-Bernama