
KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Sarawak kini berada pada peringkat awal pembangunan reka bentuk konseptual bagi penubuhan Pusat Penyelidikan Swinburne yang akan menjadi mercu penyelidikan canggih pertama universiti itu di Sarawak.
Inisiatif tersebut merupakan ilham Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang berhasrat menjadikan pusat berkenaan sebagai tunjang utama kepada ekosistem inovasi negeri berasaskan sains dan teknologi.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Amar Jaul Samion, berkata projek itu kini sedang dalam fasa awal perancangan dengan kerja-kerja reka bentuk konseptual sedang dilaksanakan.
“Seperti yang disebut oleh Premier sebelum ini, penubuhan pusat penyelidikan ini adalah sebahagian daripada visi beliau.
“Buat masa ini ia masih di peringkat awal dan kami sedang membangunkan reka bentuk konseptual serta telah mengenal pasti tapak yang berpotensi, cuma masih menunggu kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Pembangunan Masa Hadapan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di kampus berkenaan, di sini, hari ini.
Menurut Jaul, pusat penyelidikan itu bakal menempatkan empat makmal utama, iaitu Makmal Transformasi Tenaga (tenaga boleh diperbaharui, hijau, hidrogen dan biojisim), Makmal Pembuatan Termaju (komposit dan sains bahan), Makmal Ujian Bahan (pengujian industri dan inovasi), serta Makmal Simulasi Digital Twin yang menyokong teknologi Industri 4.0 dan konsep ‘kilang masa hadapan’.
Untuk makluman, sebelum ini Abang Johari berkata kerajaan negeri komited untuk merealisasikan projek tersebut dan telah mengenal pasti kawasan sekitar 4 hektar bagi pembinaannya.
“Selagi universiti dapat melahirkan pemikir teknikal yang kritikal, saya tidak kisah untuk meluaskan kawasan itu kepada 6 hektar.
“Kerajaan negeri akan melabur dalam pembinaan pusat ini dan melengkapkannya dengan peralatan terkini untuk menganalisis bahan yang kita hasilkan supaya dapat diproses menjadi produk berkualiti tinggi menggunakan teknologi moden,” katanya semasa majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-25 Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), baru-baru ini.
Beliau berkata Sarawak perlu memperkukuh empat bidang utama iaitu tenaga, semikonduktor, petrokimia dan sains bahan yang menuntut generasi baharu tenaga kerja mahir.
Tegas Abang Johari, walaupun Sarawak kaya dengan sumber asli, negeri ini memerlukan keupayaan intelektual yang lebih tinggi, dengan Swinburne memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkaliber yang mampu menukar sumber tersebut kepada produk bernilai tinggi.
“Usaha melahirkan generasi profesional baharu amat penting bagi memacu ekonomi digital, sektor tenaga boleh diperbaharui, khususnya teknologi hidrogen, serta inisiatif Industri 4.0.
“Kita memerlukan jurutera yang memahami sistem tradisional dan teknologi baharu, peniaga yang mampu menguasai pasaran global tetapi memahami konteks tempatan dan profesional IT yang boleh memacu transformasi digital,” tegasnya.
Oleh Shahrul Qaizat