
SINGAPURA: Sarawak terus mencipta pencapaian membanggakan apabila Universiti Fudan, antara universiti perubatan terkemuka di China, memilih Miri sebagai lokasi pertama penubuhan kampus antarabangsa mereka di luar negara.
Inisiatif bersejarah ini diterajui oleh syarikat tempatan, Imasa Dinasti Sdn Bhd, di bawah projek pembangunan masa depan, Kenyalang Smart City yang kini dikenali sebagai hab inovasi baharu di Asia Tenggara.
Menurut Pengerusi Imasa Dinasti, Ar Teo Ah Khing, kerjasama strategik ini merupakan hasil rundingan intensif selama lebih dua tahun dengan Universiti Fudan, yang memiliki 18 hospital pakar di China serta kepakaran cemerlang dalam bidang perubatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Ini kali pertama Universiti Fudan bersetuju menubuhkan kampus perubatan di luar China, dan mereka memilih Miri, Sarawak.
“Dengan kemajuan teknologi AI mereka, seorang doktor mampu mendiagnosis sehingga 10,000 jenis penyakit dengan ketepatan tinggi,” katanya ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Karnival Mega Sarawak 2025 di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, kerjasama itu turut melibatkan bidang penyelidikan bersama dalam Perubatan Tradisional Cina (TCM) dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti tropika Sarawak, yang telah lama dikaji dan didokumenkan oleh Pusat Biodiversiti Sarawak.
“Potensi molekul tumbuhan dari hutan hujan Sarawak kini dilihat sebagai sumber berharga untuk penemuan rawatan baharu dan dengan integrasi teknologi AI, penyelidikan ini boleh mencapai tahap lebih jauh,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ar Teo turut menzahirkan penghargaan terhadap visi dan iltizam Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam mendorong transformasi Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menumpukan kepada teknologi, kesihatan dan inovasi hijau.
Katanya lagi, Premier Sarawak sentiasa menekankan bahawa kekayaan biodiversiti Bumi Kenyalang perlu diterjemahkan kepada nilai tambah ekonomi dan manfaat kesihatan kepada rakyat.
Bersempena dengan Karnival Mega Sarawak 2025, reruai Kenyalang Smart City menerima sambutan hangat daripada ratusan pelawat, termasuk pemain industri, penggiat kesihatan, pendidikan serta pelancongan, mencerminkan minat tinggi terhadap model pembangunan hibrid yang ditawarkan oleh Sarawak.
Sokongan padu kerajaan Sarawak serta kerjasama strategik antarabangsa, Kenyalang Smart City dijangka menjadi pemangkin kepada kemunculan Sarawak sebagai peneraju baharu dalam perubatan pintar dan pembangunan bandar pintar mampan di peringkat serantau.
-UKAS