OLE Gunnar Solskjaer berkata Manchester United tidak panik jika mereka gagal beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.
Di sebalik muncul pasukan pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris memenangi empat perlawanan berturut-turut dengan perbezaan tiga gol, United masih menduduki tangga kelima liga.
Empat pasukan teratas akan layak ke Liga Juara-Juara namun kedudukan kelima dilihat sudah cukup untuk ke saingan Eropah itu jika keputusan menggantung Manchester City oleh UEFA dikekalkan.
“Kami tidak akan panik atau berasa gila dengan perancangan yang kami sudah lakukan.
“Tapi keputusan yang jelas akan memudahkan untuk melakukan persediaan ke Liga Juara-Juara,” kata Solskjaer.
Di sebalik aksi meyakinkan dan kemenangan ke atas Aston Villa memanjangkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan di kesemua pertandingan, United berdepan kemungkinan terlepas beraksi di Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut untuk kali pertama selepas 28 tahun.
Tiada seorang pun di United pernah menyatakan kelab mensasarkan kedudukan empat terbaik liga musim ini.
Pada Februari lalu, naib presiden eksekutif, Ed Woodward di dalam forum bersama penyokong menyatakan sasaran United untuk bersaing di Liga Juara-Juara dan Liga Perdana, sesuatu yang gagal dilakukan sejak Alex Ferguson meninggalkan kelab itu pada 2013.