Matheus Cunha menjaringkan gol pertamanya untuk Manchester United menentang Brighton. Foto AFP
MANCHESTER (UK): Manchester United melonjak ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Brighton 4-2, manakala Sunderland naik ke tangga kedua selepas mengejutkan Chelsea 2-1 pada Sabtu.
United kini menang tiga perlawanan berturut-turut di bawah kendalian Ruben Amorim, menamatkan rekod cemerlang Brighton di Old Trafford. Gol-gol United dijaringkan oleh Matheus Cunha, Casemiro, dan Bryan Mbeumo (2), manakala Brighton membalas menerusi Danny Welbeck dan Charalampos Kostoulas.
Kemenangan itu membawa United ke tempat keempat, memintas Liverpool, Chelsea dan Tottenham, serta hanya tiga mata di belakang pendahulu Arsenal.
Sementara itu, Sunderland terus mencipta sensasi dalam musim pertama mereka kembali ke Liga Perdana selepas lapan tahun apabila menewaskan Chelsea 2-1 di Stamford Bridge.
Chelsea mendahului awal menerusi Alejandro Garnacho, tetapi Sunderland menyamakan kedudukan melalui Wilson Isidor hasil lontaran jauh sebelum Chemsdine Talbi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 hasil hantaran Brian Brobbey.
Kekalahan itu menyebabkan Chelsea jatuh ke tangga ketujuh dan harapan mereka untuk bersaing kejuaraan semakin pudar.
“Kami tidak cukup baik, dan dalam Liga Perdana, akibatnya boleh jadi buruk,” kata pengurus Chelsea, Enzo Maresca.
Dalam satu lagi perlawanan, Newcastle menewaskan Fulham 2-1 hasil jaringan lewat Bruno Guimaraes. – AFP