
Bayindir kekal pilihan Amorim berdepan City. - Foto AFP
MANCHESTER: Manchester United bakal berdepan skuad kendalian Pep Guardiola hujung minggu ini dalam aksi derby Manchester, namun penjaga gol baharu, Senne Lammens tidak akan berada dalam kesebelasan utama.
United menandatangani Lammens dari Royal Antwerp pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas dengan nilai perpindahan sekitar £18.2 juta (RM108.1 juta) termasuk tambahan klausa.
Lammens dijangka mengambil alih peranan sebagai penjaga gol nombor satu United selepas kelab itu melepaskan Andre Onana secara pinjaman ke kelab Turki, Trabzonspor.
Namun, ketua jurulatih United, Ruben Amorim mengesahkan dalam sidang media semalam bahawa Lammens tidak akan diturunkan dalam pertemuan menentang City.
Ketika ditanya sama ada Altay Bayindir akan mengawal gawang, Amorim menjawab: “Ya. Sama seperti posisi lain – Altay akan terus bermain.
“Ia liga berbeza, negara berbeza, kaedah latihan berbeza, malah bola juga berbeza untuk Lammens. Jadi mereka akan bersaing merebut posisi ini. Saya percaya kepada Altay, dia sudah bersedia.”
Bayindir sebelum ini melakukan kesilapan ketika aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal musim ini dan sering dilihat goyah mengawal gawang.
Sebaliknya, Lammens mencatat jumlah terbanyak aksi menyelamat dalam 10 liga utama Eropah musim lalu selain mempunyai salah satu metrik “goals prevented” tertinggi di Eropah.
Malah, penjaga gol Belgium itu turut melakukan hantaran progresif terbanyak bagi pemain bawah usia 23 tahun.
Mengulas mengenai pemilihan Lammens, Amorim berkata: “Kadangkala sebagai kelab, kita cuba melihat pilihan yang berbeza.
“Kami ada pilihan yang mampu memberi sesuatu yang lain pada masa ini, tetapi juga berpotensi besar untuk menjadi penjaga gol kami bertahun-tahun akan datang.
“Kami gembira dengan kehadirannya. Dia penjaga gol berpotensi besar. Ketika ini, penjaga gol perlu sangat kuat dan berpengalaman, tetapi kami juga perlu lihat masa depan. Jadi ia gabungan kedua-duanya. Dia akan bersedia.”