PARIS: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, mengakui pasukannya kurang memiliki naluri “pembunuh” apabila mereka sekadar melakar keputusan seri 1-1 dalam saingan Liga Europa menentang Fenerbahce, skuad kendalian Jose Mourinho.
Joshua Zirkzee memberi umpan kepada Christian Eriksen yang melepaskan rembatan untuk meletakkan United di depan selepas 15 minit di Istanbul.
Penjaga gol United, Andre Onana melakukan dua penyelamatan untuk menepis dua tandukan Youssef En-Nesyri bagi melindungi kelebihan mereka pada separuh masa.
Namun, ia tidak bertahan lama apabila En-Nesyri menanduk masuk hantaran dari Allan Saint-Maximin empat minit selepas babak kedua bersambung.
Keputusan seri itu meletakkan United di kedudukan ke-21 dari 36 pasukan.
“Kami perlu menang dan kembali ke kedudukan untuk menang, tetapi kami perlu lebih ‘membunuh’ (lawan).
“Kami membenarkan lawan pulang dengan satu mata,” kata Ten Hag.
Sementara itu bekas pengendali United, Mourinho dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua selepas pertikaian hangat dengan pengadil Clement Turpin, yang didakwanya sedang memantau tingkah lakunya sambil pada masa yang sama mengikuti perlawanan.
“Dia (pengadil) memberitahu saya sesuatu yang tidak masuk akal. Dia dapat melihat aksi di dalam kotak dan tingkah laku saya di tepi padang.
“Saya mengucapkan tahniah kepadanya kerana penglihatan yang luar biasa.
“Semasa permainan, 100 batu sejam, dia mempunyai satu mata pada situasi penalti dan satu mata di bangku simpanan dan memerhati tingkah laku saya. Itulah sebabnya dia adalah antara pengadil terbaik di dunia,” kata Mourinho dengan sinis. – AFP