
MANCHESTER, England: Manchester United sudah bersetuju dengan perjanjian bernilai hingga 85 juta euro (RM418 juta) untuk mendapatkan penyerang Benjamin Sesko dari RB Leipzig semalam, menurut beberapa laporan di England.
BBC, The Athletic dan Sky Sports melaporkan United akan membayar 76.5 juta euro (RM376 juta) secara awal, dengan tambahan 8.5 juta euro (RM41.8 juta) lagi dalam bentuk insentif.
Newcastle turut berminat mendapatkan penyerang Slovenia itu, mungkin sebagai pengganti Alexander Isak yang mahu berpindah dan dikaitkan dengan Liverpool.
Namun, Sesko tertarik dengan status berprestij United sebagai juara England 20 kali, walaupun kelab itu tidak akan beraksi pada pertandingan Eropah musim depan.
Ketibaannya dijangka melengkapkan rombakan besar dalam barisan serangan United yang tumpul.
Hanya empat pasukan lain yang menjaringkan kurang daripada 44 gol United dalam 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu – kempen terburuk kelab itu dalam tempoh 51 tahun, apabila mereka menamatkan liga di tangga ke-15.
Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo sudah ditandatangani lebih awal dalam jendela perpindahan ini, menjadikan jumlah perbelanjaan United untuk penyerang dalam beberapa bulan kebelakangan ini melebihi £200 juta (RM1.13 bilion).
Sesko sebelum ini turut dikaitkan dengan Arsenal selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam dua tahun di Jerman, menjaringkan 39 gol dalam 87 perlawanan bersama Leipzig termasuk 21 gol musim lalu.
Dengan ketinggian 1.95 meter, fizikal mantap, kepantasan luar biasa dan naluri jaringan Sesko sering dibandingkan dengan bintang Manchester City, Erling Haaland.
Seperti Haaland, Sesko turut memulakan nama di RB Salzburg sebelum berpindah ke Jerman pada 2023.
United kini meletakkan harapan tinggi supaya Sesko merealisasikan potensinya untuk membantu mereka kembali bersaing di puncak EPL.
Secara keseluruhan, Sesko, Cunha dan Mbeumo menjaringkan 58 gol musim lalu.
Pelaburan besar itu perlu segera membuahkan hasil memandangkan United kini berada di bawah tekanan untuk mematuhi peraturan kelestarian kewangan, apatah lagi tanpa pendapatan daripada aksi Eropah musim ini. – AFP