
Pasukan Manchester United. Foto fail AFP
LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada tetap berpegang kepada sasaran jangka panjang kelab untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang 2028.
Ia tahun yang bakal menandakan ulang tahun ke-150 penubuhan kelab itu – meskipun skuad kendalian Ruben Amorim baru sahaja melalui musim terburuk dalam sejarah moden mereka.
Kelab yang pernah menjulang 20 gelaran liga itu menamatkan saingan di tangga ke-15 musim lalu, rekod terburuk sejak penyingkiran pada musim 1973/74, dan ketinggalan 42 mata di belakang juara, Liverpool.
Malah, mereka turut dikecewakan di pentas Eropah apabila tewas kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa, sekali gus menyebabkan United tidak akan beraksi dalam sebarang kejohanan Eropah musim depan.
Berrada yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Operasi Bola Sepak Manchester City, memperkenalkan inisiatif “Projek 150” kepada kakitangan pada September lalu – menyasarkan kejayaan menggenggam kejuaraan Liga Perdana dan Liga Super Wanita (WSL) menjelang 2028.
Walaupun pasukan lelaki masih jauh daripada tahap yang diimpikan, pasukan wanita United juga berdepan cabaran besar untuk memecahkan dominasi Chelsea yang telah menjulang enam kejuaraan WSL berturut-turut.
Skuad wanita United menamatkan saingan di tempat ketiga musim lalu, ketinggalan 16 mata di belakang Chelsea dan turut tewas kepada kelab sama dalam final Piala FA.
Namun, Berrada kekal optimis kejayaan berganda itu mampu dicapai dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Ia adalah mengenai menetapkan sasaran dalam jangka masa tertentu supaya kami boleh fokus tenaga dan usaha ke arah matlamat itu,” katanya dalam temu bual bersama fanzine United We Stand.
“Bolehkah pasukan ini menjuarai Liga Perdana menjelang 2028? Sudah tentu.
“Kami baru sahaja menamatkan musim di tangga ke-15 dan ia kelihatan seperti misi mustahil. Tapi kenapa tidak kita jadikan itu matlamat? Kenapa tidak lakukan sebaik mungkin?”
United yang ditubuhkan sebagai Newton Heath pada tahun 1878 akan menyambut ulang tahun ke-150 pada 2028.
Mereka kali terakhir menjulang kejuaraan liga pada musim terakhir Alex Ferguson selaku pengurus pada 2012/13.
“Saya benar-benar percaya kami mampu lakukannya,” katanya.
“Kami ada dua atau tiga jendela perpindahan musim panas untuk membina pasukan yang benar-benar mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana.” – AFP