Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • ‘United by Unique’ warnai sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Kuching
  • KESIHATAN

‘United by Unique’ warnai sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Kuching

Utusan Sarawak 6 hours ago
SIMBOLIK…Dato Hanifah Hajar Taib melakukan simbolik perasmian pada Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Bahagian Kuching di Tebingan Sungai Sarawak, malam ini.Foto Norman B

KUCHING: Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Bahagian Kuching berlangsung meriah di Tebingan Sungai Sarawak, malam ini, dengan Jambatan Darul Hana dan kawasan sekitarnya disinari warna rasmi Hari Kanser Sedunia, jingga dan biru, bermula malam ini hingga 7 Februari depan.

Program anjuran Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu menjadi platform penting meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan serta perjuangan melawan penyakit kanser.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib, yang menekankan kepentingan kerjasama rentas sektor dalam memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap pengesanan awal dan pencegahan kanser.

Menurut beliau, tema sambutan tahun ini, ‘United by Unique’, menekankan kepentingan perpaduan masyarakat serta pemerkasaan sokongan moral kepada pesakit kanser. Semangat kesatuan itu turut dizahirkan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam merealisasikan penubuhan Hospital Kanser Sarawak.

KENANGAN…Dato Hanifah Hajar Taib bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan pada perasmian Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Bahagian Kuching di Tebingan Sungai Sarawak, malam ini.Foto Norman B

“Usaha ini penting bagi memastikan kemudahan rawatan kanser yang menyeluruh dapat disediakan, sekali gus memastikan tiada rakyat Sarawak tercicir daripada menerima rawatan yang sewajarnya,” katanya sambil menggesa agar pemuktamadan projek berkenaan dapat disegerakan.

Sambutan turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam sebagai tanda sokongan moral kepada pesakit kanser dan keluarga mereka. Penganjur menegaskan bahawa sambutan Hari Kanser Sedunia bukan sekadar simbolik, sebaliknya peringatan bahawa kanser merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira usia, kaum atau latar belakang.

Orang ramai turut digesa agar tidak meminggirkan pesakit kanser kerana sikap sedemikian boleh menimbulkan ketakutan untuk mendapatkan rawatan, sekali gus menjejaskan peluang pemulihan. 

Sebagai sokongan kepada usaha pengesanan awal, Pusat Perubatan Timberland akan menyediakan saringan kesihatan percuma kepada orang ramai di Padang Merdeka pada esok, 1 Februari 2026.

Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari diasaskan oleh Persatuan Antarabangsa Kawalan Kanser (UICC) pada 2000, bertujuan meningkatkan kesedaran, pendidikan pencegahan serta sokongan kepada individu yang berjuang melawan kanser.

SCAN, sebuah persatuan berdaftar dan ahli UICC, berperanan memperkasa kesedaran kanser serta meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan awam berkualiti, selaras usaha meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser.

Oleh Norman B

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Kes penyakit kuku dan mulut pertama dalam 9 bulan disahkan di Incheon, Korea Selatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.