Benjamin Sesko (kanan) meraikan gol bersama Matheus Cunha selepas membantu Manchester United memastikan tiga mata berharga. Foto AFP.
LONDON: Manchester United menghidupkan semula harapan untuk menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik selepas kemenangan penting 3-1 ke atas pesaing rapat Aston Villa.
Skuad kendalian Michael Carrick memecah kebuntuan menerusi tandukan Casemiro pada babak kedua sebelum Rosa Barkley menyamakan kedudukan buat pelawat.
Namun United kembali garang di penghujung perlawanan apabila Matheus Cunha dan pemain gantian Benjamin Sesko menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan ketujuh dalam sembilan perlawanan buat Carrick sejak mengambil alih sebagai pengurus sementara.
Kini menghuni tangga ketiga liga, United berada tiga mata di depan Villa dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.
Fernandes cipta rekod bantuan gol
Kemenangan itu turut diserikan aksi kapten Bruno Fernandes yang mencatat bantuan gol ke-16 liga musim ini — memintas rekod lama David Beckham bersama kelab pada musim 1999-2000.
Sejak menyertai United pada 2020, Fernandes kini sudah mengumpul 100 bantuan gol dalam semua pertandingan.
Villa terus merudum
Villa pula semakin tertekan selepas tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam liga dan hanya menang sekali dalam tujuh aksi terakhir.
Mereka kini cuma tiga mata di depan Chelsea dengan baki lapan perlawanan.
Saingan zon Eropah & penyingkiran makin sengit
Dalam perlawanan lain, Notthingham Forest keluar dari zon penyingkiran selepas seri tanpa jaringan menentang Fullham, manakala Leeds United yang beraksi 10 pemain berjaya mengikat Crystal Palace 0-0.
Sementara itu, Tottenham Hotspur terus bergelut apabila masih tanpa kemenangan dalam 11 perlawanan liga menjelang kunjungan sukar ke laman Liverpool. – AFP