KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Zecon Bhd (Zecon), Zecon Renewables Sdn Bhd ditawarkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM328 juta daripada sebuah lagi anak syarikatnya, Zecon Renewables (Sarawak) Sdn Bhd.
Menurut Zecon, kontrak berkenaan melibatkan pembangunan kemudahan fotovoltaik (PV) solar agrivoltaik berskala besar iaitu 100 megawatt arus ulang-alik (100MWac) di Sarawak termasuk loji solar PV dan kemudahan penyambungannya.
Jelas syarikat itu, skop kerja turut merangkumi pembinaan cadangan jambatan sepanjang 130 meter merentasi Sungai Serai di Kuching, Sarawak serta infrastruktur tapak dan kerja tanah di dalam Taman Teknologi Hijau Kota Petra (KPGTP).
“Sebagai projek perintis tenaga boleh baharu (TBB) di dalam taman berkenaan, ia menjadi penanda aras tentang bagaimana fasa-fasa masa hadapan akan distrukturkan, dibiayai dan dilaksanakan.
“Ia juga membuktikan KPGTP sedang melangkah secara tegas ke arah menjadi satu daripada destinasi pelaburan utama di Sarawak,” jelas Zecon.
Kumpulan itu memaklumkan projek Fasa 1 berkapasiti 100MWac itu merupakan pembangunan berskala besar pertama di bawah pelan induk KPGTP.
“Sebagai projek perintis TBB di dalam taman perindustrian itu, projek ini menjadi penanda aras bagi pelaksanaan, pembiayaan dan pembangunan fasa-fasa akan datang,” katanya. – Bernama




