KUALA LUMPUR: Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net), unit milik penuh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, memperoleh pembiayaan bernilai RM200 juta daripada CIMB Bank Bhd (CIMB) bagi membiayai inisiatif mobiliti hijau.
Pembiayaan itu juga bagi import dan pengedaran kenderaan elektrik premium (EV) smart #1 di Malaysia.
Ahli Lembaga Pengarah Pro-NET Roslan Abdullah berkata syarikat itu akan memanfaatkan pembiayaan ini untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV syarikat selain mengembangkan rangkaian untuk pengalaman runcit yang lebih lancar.
“Langkah ini akan memudahkan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik, sejajar dengan objektif neutral karbon Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pro-Net merupakan pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.
Malah, smart #1 adalah model pertama dijual oleh PRO-NET dan dibina berdasarkan Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dengan sentuhan gaya oleh Mercedes-Benz.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan CIMB Group Novan Amirudin menyifatkan urus niaga ini menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri dalam memajukan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di Asean dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini sepertimana dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami,” katanya. – Bernama