
KUALA LUMPUR: Anak syarikat Petra Energy Bhd, Petra Resources Sdn Bhd memperoleh empat arahan kerja daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.
Kontrak-kontrak itu adalah bagi penyediaan perkhidmatan penyambungan dan pentauliahan untuk Projek Peremajaan Kemudahan Bersepadu Bintulu (BIF) Fasa 2, dengan jumlah sebanyak RM298 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Petra Energy berkata butiran arahan kerja itu termasuk peruntukan untuk perolehan, aktiviti kejuruteraan dan pembinaan serta pentauliahan bagi projek BIF.
“Arahan kerja itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan selepasnya sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya. – Bernama