
NEW DELHI: Unit kuasa sampingan pesawat Air India penerbangan AI-315 dari Hong Kong ke Delhi terbakar pada Selasa sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi, lapor Xinhua yang memetik pegawai.
Kebakaran itu dikesan ketika penumpang sedang keluar dari pesawat.
Menurut Air India, semua penumpang berada dalam keadaan selamat. Kebakaran itu bagaimanapun menyebabkan kerosakan pada pesawat.
Pada Isnin, satu lagi insiden melibatkan pesawat Air India berlaku apabila penerbangan dari Kochi ke Mumbai terbabas dari landasan semasa mendarat, mengakibatkan kerosakan pada pesawat dan permukaan landasan.
Satu lagi penerbangan Air India dari Delhi ke Kolkata turut mengalami masalah apabila terpaksa membatalkan penerbangan pada saat akhir selepas mengesan isu teknikal.
Bulan lalu, sebuah pesawat Air India yang dalam penerbangan ke London terhempas sejurus selepas berlepas dari Ahmedabad, mengorbankan 241 orang dalam pesawat. Nahas itu turut meragut nyawa 19 orang di darat dan mencederakan 67 yang lain.
— BERNAMA-XINHUA