Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Unit Kardiak Hospital Bintulu permudah akses rawatan jantung di kawasan tengah Sarawak
  • KESIHATAN

Unit Kardiak Hospital Bintulu permudah akses rawatan jantung di kawasan tengah Sarawak

Utusan Sarawak 21 hours ago
DR Sim Kui Hian menyerahkan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani semasa majlis penyerahan peralatan Unit Kardiak Hospital Bintulu, hari ini.

BINTULU: Penubuhan Unit Kardiak Hospital Bintulu yang mula beroperasi sejak Februari lalu membolehkan lebih ramai pesakit jantung di kawasan tengah Sarawak menerima rawatan segera tanpa perlu dirujuk ke Kuching.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, setakat September lalu, sebanyak 145 pesakit telah menerima rawatan kardiologi di hospital berkenaan termasuk 75 pesakit menjalani prosedur Percutaneous Coronary Intervention (PCI) yang dilakukan oleh pakar dari Pusat Jantung Sarawak.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Jantung Sarawak, penubuhan unit tersebut hasil kerjasama pelbagai pihak dengan jumlah kutipan dana sebanyak RM2.25 juta.

“Unit ini sangat penting bagi mempercepatkan rawatan penyakit jantung dan mengurangkan beban pesakit luar bandar yang sebelum ini terpaksa ke Kuching untuk mendapatkan rawatan.

“Kos rawatan seperti angioplasti iaitu prosedur perubatan untuk meluaskan salur darah yang tersumbat atau sempit, terutamanya dalam jantung boleh mencecah RM15,000 hingga RM20,000 bagi setiap kes yang ditanggung kerajaan, namun pesakit hanya perlu membayar RM200. 

“Jika dilakukan di hospital swasta, kosnya boleh mencecah RM30,000,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan peralatan Unit Kardiak Hospital Bintulu, hari ini.

PERALATAN perubatan yang disumbangkan kepada Unit Kardiak Hospital Bintulu bagi meningkatkan kemudahan rawatan penyakit jantung di kawasan tengah Sarawak.

Antara penyumbang utama dana tersebut ialah Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebanyak RM1.6 juta, Press Metal Bintulu Sdn Bhd sebanyak RM500,000 dan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sebanyak RM150,000.

Dr Sim menambah, kerjasama antara Yayasan Jantung Sarawak, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak korporat telah membolehkan kemudahan makmal kateterisasi (cath lab) diwujudkan di Hospital Bintulu, menjadikannya hospital awam kedua di Sarawak selepas Pusat Jantung Sarawak yang memiliki kemudahan sama.

Yayasan Jantung Sarawak turut aktif melaksanakan program kesedaran awam, saringan kesihatan percuma dan pendidikan kesihatan bagi meningkatkan pengetahuan rakyat tentang pencegahan penyakit jantung serta kepentingan gaya hidup sihat.

Oleh Carolyne Utih

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Senaman berkala bantu cegah kanser payudara – Dr. Aminnur
Next: Sarawak mahu autonomi ambil doktor, jururawat – Dr Sim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.