
KUALA LUMPUR: Hartanah Kenyalang Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Hartanah Construction Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM275.3 juta daripada Jabatan Kerja Raya di bawah Kementerian Kerja Raya untuk mereka bentuk dan membina sebuah penjara baharu di Sibu, Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kontrak selama 36 bulan berkenaan berkuat kuasa dari 9 Februari, 2026 hingga 8 Februari, 2029. Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober, 2026 dan sepanjang tempoh kontrak berlangsung.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Seah Boon Tiat berkata Penjara Sibu akan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan moden, yang akan menambah baik kehidupan dan kebajikan banduan, selain memperbaiki persekitaran kerja pegawai penjara.
“Kontrak ini merupakan kontrak terbesar yang berjaya diraih sepanjang sejarah operasi selama 12 tahun dalam industri pembinaan di Sarawak,” katanya.
Nilai perolehan kontrak syarikat yang belum dibilkan termasuk projek Penjara Sibu meningkat kepada RM567.7 juta setakat 30 Januari, 2026 daripada RM142.5 juta setakat 31 Mac, 2025.- Bernama