KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sentiasa proaktif dalam menitik berat elemen integriti di dalam amalan kerja seharian, kata Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Beliau menjelaskan amalan integriti diterapkan di dalam budaya kerja serta menjadi salah satu dari Nilai Teras UNIMAS iaitu ExCITE – Exemplary (Teladan); Collegiality (Keserakanan); Integrity (Integriti); Tenacity (Cekal); Equity (Ekuiti).
“Selaras dengan amalan nilai teras ini, kita telah memastikan agar setiap tugasan yang dilaksanakan oleh staf, perlu memberi penekanan kepada nilai integriti ini. Hasilnya boleh dilihat sekarang ini di mana kadar kes pelanggaran nilai integriti kerja serta kes tatatertib dan seumpamanya adalah sentiasa terkawal dan di bawah paras minima,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa berucap secara ringkas dalam Forum Webinar 2021 bertajuk ‘Integriti dan Cabaran Semasa: Apa Peranan Anda?”, yang diadakan secara atas talian, semalam.
Tambahnya, UNIMAS juga menubuhkan Bahagian Integriti yang mengurus dan mengawalselia segala urusan yang berkaitan dengan hal-ehwal Integriti bagi memastikan warga Universiti faham dan tahu tentang prosedur, peraturan serta ketetapan yang melibatkan isu-isu integriti di UNIMAS.
Katanya, malahan UNIMAS sebagai salah satu Badan Berkanun Persekutuan, sama seperti Universiti Awam yang lain di Malaysia, akan membangunkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 – satu dokumen dasar antirasuah yang bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam Organisasi.
Katanya, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia – (MACA, SPRM) telah membantu dalam pembangunan NACP dengan bimbingan dan latihan yang telah diikuti oleh Pegawai-pegawai dari Bahagian Kewangan, Audit Dalaman, Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Pembangunan, Pengurusan Risiko serta Bahagian Integriti.
“Ruang lingkup pembangunan NACP ini adalah merangkumi aspek governans, integriti dan antirasuah, serta semua bidang dan aktiviti utama di UNIMAS manakala Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) adalah berfungsi sebagai mekanisme tertinggi yang akan menerima laporan, membincang, membuat keputusan dan memantau OACP UNIMAS nanti,” katanya lagi.
Naib Canselor turut mengucapkan penghargaan dengan kejayaan menganjurkannwebinar forum “Integriti dan Cabaran Semasa: Apa Peranan Anda?” dan beliau percaya forum seumpama itu dapat mengupas isu-isu integriti dan cabaran semasa dan meningkatkan pemahaman dan kaedah pendekatan yang lebih komprehensif bagi menangani isu integriti masa kini.
Dalam pada itu, forum lebih dua jam pagi semalam telah menjemput empat panel utama iaitu Penolong Kanan Pesuruhjaya Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman, Pengarah Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Mual Suaud, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohamad Tarmize Abdul Manaf dan Pengarah Bahagian Penerbitan UNIMAS, Profesor Dr Neilson Ilan Mersat, manakala Timbalan Pendaftar Bahagian Integriti UNIMAS, Dr Nasriman Abdul Rahman bertindak sebagai moderator forum.
Forum ini telah dianjurkan oleh Bahagian Integriti UNIMAS, dengan kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak (UNION) Jabatan Ketua Menteri Sarawak serta Pusat Kepimpinan UNIMAS (ULC).
Oleh NUR AIN OTSMAN