
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Copenhagen, Denmark secara rasmi melancarkan kursus lapangan bersama Penggunaan Tanah Lestari dan Pengurusan Sumber Asli (SLUSE) 2026, sekali gus mengukuhkan kerjasama akademik jangka panjang dalam bidang sains kelestarian serta pendidikan berasaskan lapangan.
Program berkenaan menyambut ketibaan 39 pelajar dan tiga pensyarah dari Universiti Copenhagen ke Sarawak, dengan komponen lapangan dijalankan di enam kampung di wilayah Sarikei. Inisiatif itu memberi tumpuan kepada penggunaan tanah lestari, pengurusan sumber semula jadi serta penglibatan komuniti dalam konteks luar bandar sebenar.
Naib Kaunselor Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, SLUSE merupakan contoh kukuh program akademik antara disiplin yang dilaksanakan secara transdisiplin bersama komuniti, di samping mencerminkan prinsip pendidikan rentas negara antara Malaysia dan Denmark.
“Kerjasama ini mencerminkan semangat pertukaran peradaban dan pembelajaran bersama. Apabila kepakaran kelestarian Nordic bertemu dengan kekayaan biodiversiti Borneo serta sistem pengetahuan komuniti, kita mewujudkan pembelajaran dan penyelesaian dunia sebenar yang melangkaui bilik kuliah,” katanya.
Beliau menambah, program tersebut mengintegrasikan kerangka akademik dengan sistem pengetahuan tempatan, sekali gus membolehkan pelajar terlibat secara langsung dalam pengurusan sumber semula jadi berasaskan komuniti, amalan agroekosistem serta isu kelangsungan hidup luar bandar.
Turut hadir ialah Profesor Madya Dr Xiaoye Tong dan Profesor Madya Marieve Pouliot dari Universiti Copenhagen yang menzahirkan komitmen institusi itu untuk meneruskan kerjasama akademik berterusan bersama Unimas.
Sementara itu, kerangka akademik dan metodologi lapangan bagi kohort 2026 dihuraikan oleh Penyelaras SLUSE-Malaysia, Profesor Madya Dr Wong Swee Kiong serta Dr Siti Nurbaidzuri Raily@Reli.
Kursus Lapangan bersama SLUSE ini selaras dengan Pelan Strategik Unimas 2026–2030, khususnya dalam memperkasa pendidikan transdisiplin, penyelidikan biodiversiti dan jaringan akademik global.
Kerjasama berterusan ini turut menyokong penyelidikan bersama, pembelajaran berasaskan lapangan serta kolaborasi akademik pascasiswazah antara Malaysia dan Denmark.
Unimas menawarkan pelbagai program dalam tiga bidang tumpuan utama iaitu biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar, teknologi komunikasi maklumat dan kreatif serta transformasi komuniti lestari.