
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan, teknologi digital dan pembangunan komuniti sejajar dengan aspirasi negeri menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.
Menurut Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr. Mohamad Hata Rasit, sehingga Oktober 2025, Unimas telah memperoleh 191 geran penyelidikan baharu dengan jumlah pembiayaan melebihi RM8.5 juta yang melibatkan kerjasama tempatan dan antarabangsa.
“Pencapaian tersebut membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh agenda penyelidikan yang menyumbang kepada kemajuan industri serta pembangunan masyarakat.
“Selain penyelidikan, Sekolah Perniagaan Unimas (UBS) turut mengharumkan nama universiti apabila menerima dua pengiktirafan berprestij di Anugerah Pendidikan dan TVET Malaysia.
“Pada 2025, UBS menerima Anugerah Sekolah Perniagaan Terbaik bagi kategori Jangkauan Komuniti Lestari dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, manakala pada 2024 menerima Anugerah Sekolah Perniagaan Terbaik Malaysia bagi Program Mobiliti Antarabangsa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Keempat Konvokesyen Unimas ke-29 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), hari ini.
Tambah beliau, dalam bidang teknologi dan digitalisasi, Unimas meneruskan peranannya sebagai pemacu utama transformasi digital Sarawak menerusi penganjuran Unimas Digital Technology NEXUS 2025.
“Unimas Digital Technology NEXUS 2025 menghimpunkan pakar antarabangsa dengan kerjasama Universiti Loughborough London bagi mempercepatkan agenda kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau di rantau ini.
“Unimas turut menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang melaksanakan dua pensijilan teknologi antarabangsa Pendidik Bertauliah Gemini dan Pendidik Bertauliah Google bagi memastikan kompetensi staf dan graduannya berada pada tahap bertaraf dunia.
“Penubuhan Hab Pengalaman Digital bersama Google Untuk Pendidikan juga menjadikan Unimas sebagai IPTA pertama di Malaysia yang menawarkan latihan bersijil, penggunaan peranti Chromebook, serta integrasi Gemini AI dan Google Workspace,” jelasnya.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa dalam menjaga kebajikan warga kampus, Unimas memperkenalkan aplikasi Unimas Prihatin yang dilengkapi dengan fungsi butang panik bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar dan staf, termasuk warga OKU.
“Dalam konteks kebolehpasaran graduan, Unimas terus mengekalkan prestasi cemerlang dengan Kebolehpasaran Graduan bagi 2024 mencatatkan 91.6 peratus, manakala kebolehpasaran graduan berada pada 91.5 peratus.
“Keyakinan tinggi pihak industri terhadap kualiti graduan Unimas turut dibuktikan melalui penerimaan Anugerah Pilihan Majikan daripada Talent Bank Malaysia pada April 2025,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah