KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menyumbang sepuluh beg jenazah atau dipanggil ‘Body Enclosure for Corpse’ kepada Hospital Umum Sarawak (HUS), petang kelmarin.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung secara ringkas di Rumah Universiti, UNIMAS dengan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim kepada Timbalan Pengarah HUS, Dr. Hayati Ja’afar.
Menurut Profesor Dr. Wan Hashim, sumbangan produk ‘Body Enclosure for Corpse’ adalah sebagai membantu pihak Kerajaan Sarawak membantu barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.
Jelas beliau, UNIMAS telah mewujudkan dana Covid-19 yang mana dana tersebut telah digunapakai untuk menghasil produk-produk terutamanya melibatkan produk” ‘Personal Protective Equipment’ untuk para barisan hadapan khususnya di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta.
“Salah satu produk yang dibangunkan adalah ‘Body Enclosure for Corpse’ yang telah dicipta oleh para penyelidik dari Institut Seni Kreatif dan Teknologi atau kita panggil iCreaTe UNIMAS,” sambungnya lagi.
Beliau menambah, produk tersebut telah dibangunkan sejak 2016, di mana setahun kemudiannya, produk sama tapi versi pertama yang dikenali sebagai ‘Smart Soft Stretcher’ (3S), telah memenangi tempat kedua di anugerah tahun pengkomersialan Malaysia 2017, bagi kategori Usahawan Sosial.
Dalam pada itu, Dr. Hayati Ja’afar berterima-kasih dengan UNIMAS atas sumbangan berkenaan yang mana menurut beliau, ia banyak membantu HUS untuk memudahkan pengurusan jenazah terutama melibatkan pesakit Covid-19.
Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini, UNIMAS juga telah menyerahkan sumbangan lain seperti kotak intubasi, pencuci tangan pembasmi kuman, pelindung muka, penutup hidung dan mulut untuk membantu para barisan hadapan di HUS.
Beliau berharap, UNIMAS akan terus memberi kerjasama dengan HUS untuk bersama-sama berusaha menangani pandemik Covid-19 dan juga berharap agar lebih banyak agensi lain turut membantu HUS untuk tujuan yang sama.
Oleh Nur Ain Otsman