
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan terus mengekalkan sistem ‘buddy’ (rakan sebaya) untuk memastikan kelangsungan sokongan kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.
Menurut Naib Canselor Unimas, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, Unimas amat menitikberatkan keperluan dan kemudahan pelajar OKU, terutamanya menjelang musim pendaftaran pelajar baharu.
“Kita telah menyediakan sistem ‘buddy’, di mana seorang pelajar dari fakulti yang sama dengan pelajar OKU akan diminta bantuan untuk menemani dan menjaga pelajar OKU sepanjang sesi pengajian di sini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Selain sokongan ‘buddy’, Prof. Dr. Ahmad Hata turut menyatakan bahawa Unimas telah meningkatkan kemudahan kediaman bagi pelajar OKU.
Penambahbaikan itu merangkumi penyediaan ruangan dan pintu bilik yang mudah dicapai, serta laluan jalan yang lancar dan mudah ke fakulti masing-masing.
” Malah, kita menyediakan kolej Cempaka, untuk penempatan pelajar-pelajar OKU yang menyambung pengajian mereka di Unimas.
“Ini adalah salah satu komitmen kita untuk memastikan semua pelajar, tidak kira mereka yang mempunyai tubuh badan yang sihat atau pelajar OKU, mendapat keselesaan semasa pengajian di sini,” ujar beliau semasa mengadakan lawatan ke kolej-kolej kediaman bagi pelajar baharu bersama-sama dengan Dekan-dekan fakulti dan ketua-ketua jabatan di Unimas.
Lawatan bersama dekan dan pengarah ini bertujuan memastikan terdapat kerjasama kolektif dari semua pihak bagi menjamin keperluan pelajar mencukupi untuk keselesaan pengajian.
Naib Canselor turut melawat salah seorang pelajar baharu OKU, Steven Lias Sidi, 22, dari Sibu, yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam Program Kajian Khidmat Sosial di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Prof. Dr. Ahmad Hata menasihati Steven agar sentiasa berusaha dan tidak berputus asa, malah melihat cabaran yang mendatang sebagai dugaan penting sebelum mencapai kejayaan sebenar.
Steven, yang berasal dari Julau dan mengalami penglihatan terhad di kedua-dua belah mata, menyatakan rasa syukur atas peluang tersebut.
Beliau menganggap peluang melanjutkan pengajian di Unimas adalah ‘rezeki besar’ untuk mencapai segulung ijazah yang boleh digunakan untuk berbakti semula kepada masyarakat.
Ditemani oleh neneknya semasa pendaftaran, Steven berjanji untuk terus cekal menghadapi cabaran, kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada liku-liku kehidupannya.
Komitmen Unimas itu jelas menunjukkan usaha universiti untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan kondusif bagi semua pelajar, tanpa mengira keadaan fizikal mereka.
Oleh Masrin Affirah