
KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mencipta sejarah apabila membangunkan sistem pemantauan karbon digital pertama di Sarawak bagi menjejak dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara masa nyata di kampus.
Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Hata Rasit berkata, sistem yang dikenali sebagai Papan Pemuka Inventori Gas Rumah Hijau Unimas (GHG Inventory Dashboard) itu dibangunkan sepenuhnya oleh penyelidik universiti tersebut sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Unimas sebagai kampus rendah karbon.
“Unimas komited menjadi kampus hidup yang berfungsi sebagai makmal lestari dengan mengintegrasikan pembelajaran, kecekapan operasi dan inovasi sosial berasaskan tiga teras utama – pendigitalan dan pemantauan gas rumah hijau, kecekapan operasi serta perubahan tingkah laku, dan pendidikan, penyelidikan serta penglibatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa Asia Rendah Karbon 2025 (ICLCA 2025) di Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah pembangunan Papan Pemuka Inventori Gas Rumah Hijau Unimas (GHG Inventory Dashboard) – sistem digital yang dibangunkan sepenuhnya oleh penyelidik universiti bagi memantau pelepasan karbon secara masa nyata di seluruh kampus.
Melalui sistem ini, data penggunaan tenaga, penghasilan sisa dan aktiviti pengangkutan dapat dipantau serta dianalisis bagi mengenal pasti sumber utama pelepasan karbon dan seterusnya merancang langkah penambahbaikan berasaskan data.
“Pendekatan berasaskan data ini telah menunjukkan hasil ketara. Peningkatan pelepasan karbon akibat pengangkutan berjaya dikurangkan daripada 21 peratus pada 2023 kepada hanya empat peratus pada 2024.
“Penggunaan tenaga pula menurun sebanyak 12 peratus per kapita, manakala sisa pepejal berkurang 14 peratus melalui pelaksanaan sistem kompos dan pengasingan sisa di Makmal Kitaran Unimas,” jelasnya.
Hata Rasit menambah, usaha ini membuktikan bahawa pendigitalan bukan sekadar alat pelaporan, tetapi pemangkin kepada perubahan tingkah laku dan akauntabiliti terhadap alam sekitar.
Beliau turut menekankan bahawa semua fakulti di Unimas kini melaksanakan inisiatif penjimatan tenaga dan sifar sisa, selain memperkenalkan laluan berbasikal, penggunaan kenderaan elektrik serta dasar pembelian hijau bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Dari segi pendidikan dan penyelidikan, katanya, Unimas menjadikan data sebenar kampus sebagai bahan pembelajaran melalui pendekatan makmal hidup, membolehkan pelajar menilai dan mencipta penyelesaian inovatif berkaitan kelestarian.
Antara inisiatif utama Unimas ialah Makmal Kitaran Unimas (Unimas Circular Lab) yang menjadi pusat inovasi ekonomi kitaran. Di sini, bahan buangan seperti keluli dan buluh diubah menjadi produk baharu yang bernilai serta digunakan semula secara kreatif.
“Makmal ini menjadi tapak pembelajaran kepada pelajar, usahawan dan komuniti untuk meneroka inovasi hijau. Simboliknya, hadiah ‘Jambatan Cinta’ yang diperbuat daripada keluli terpakai oleh penggiat tempatan mewakili jambatan antara seni dan sains yang menghubungkan kedua-dua bahagian kampus serta melambangkan komitmen Unimas terhadap masa depan rendah karbon,” ujarnya.
Beliau berkata, Unimas kini sedang membangunkan Kampung Kitaran Unimas (Unimas Circular Village) yang bakal memperluas inovasi ini ke kawasan luar bandar Sarawak bagi memperkasa komuniti tempatan melalui amalan lestari seperti produk eko, baja bio dan penyelesaian berasaskan buluh.
Unimas turut menjalin kerjasama dengan rakan strategik termasuk Sarawak Energy, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Lembaga Kemajuan Bintulu bagi memperkukuh kapasiti ESG, pemetaan kesiapsiagaan hidrogen dan model ekonomi kitaran.
Melalui keanggotaan dalam rangkaian seperti Low Carbon Asia Network dan ASEAN University Network on Sustainability, Unimas turut memperluas kolaborasi dengan universiti antarabangsa termasuk Lancaster University, Copenhagen Business School dan University of Sydney bagi memperkukuh penyelidikan dan perkongsian ilmu.
“Unimas diiktiraf sebagai antara kampus terkehadapan di Sarawak dalam pemantauan digital gas rumah hijau dan transformasi lestari. Kami komited mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2030 dan terus berusaha mencapai sifar bersih 2050,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa peralihan ke arah rendah karbon merupakan tanggungjawab bersama dan Unimas akan terus menjadi model kampus yang berasaskan data, dipimpin komuniti serta berpaksikan masa depan hijau.
Oleh Norman B & Shahrul Qaizat