Berpengalaman selama 24 tahun dalam bidang pembuatan kek lapis, kek dan pastri mendorong seorang usahawan kek lapis, Maria Ngui Sai Moi menghasilkan rekaan kuih bulan berintikan kek lapis pertama di Sarawak.
Bermula dengan niat sekadar ingin mencuba sesuatu kelainan, wanita berdarah kacukkan Bidayuh dan Cina ini mampu menghasilkan pelbagai variasi perisa kuih bulan yang dapat menarik minat pelanggan khususnya penggemar kuih bulan.
Mengimbau kenangan tiga tahun lalu, wanita berusia 45 tahun terbabit mendedahkan bahawa idea itu timbul setelah beliau menyedari bahawa belum ada lagi usahawan yang menggabungkan dua jenis makanan tradisional terkenal berkenaan.
“Semua sedia maklum bahawa kek lapis Sarawak merupakan produk dan identiti Sarawak yang terkenal di seluruh negara, begitu juga dengan kuih bulan yang menjadi kuih tradisi masyarakat Cina.
“Keunikkan dan kecantikkan variasi warna kek lapis dan bentuk kuih bulan menyebabkan saya ingin mencuba menggabungkan kedua-dua produk kebanggaan kita tersebut.
“Sejujurnya saya tidak menyangka sambutan daripada masyarakat amat menggalakkan terhadap inovasi baharu kek bulan ini hingga mampu menembus pasaran luar Sarawak,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di premis perniagaannya di sini, semalam.
Pemilik kedai Maria Kek Lapis terbabit menambah, beliau akan menukar pelbagai variasi perisa kuih bulan berintikan kek lapis setiap tahun bahkan tahun ini, sebanyak 12 jenis kek lapis terbaharu akan dijual di kedainya.
Katanya, antara kek lapis terbaharu tersebut ialah ‘cadbury pistachio’, ‘rose sakura cheese’, ‘marble mint cheese’, ‘ice cream strawberry chocolate’, ‘lotus biscoff’, ‘cendol chesse’, ‘chocolate rainbow’ dan ‘cappuccino cheese’ selain turut menjual variasi kuih bulan tradisional.
“Saya menggunakan ‘snow skin’ sebagai kulit kuih bulan ini sementara intinya menggunakan kek lapis premium. Saya turut menawarkan dua jenis kuih bulan berintikan kek lapis iaitu ‘snow skin’ yang kulitnya diperbuat daripada tepung beras pulut yang dimasak tanpa perlu dibakar manakala ‘baked skin’ perlu dibakar sehingga kuning keemasan,” ujarnya.
Maria yang meminati bidang pembuatan kek sejak dibangku sekolah berkata, sejak 2018 beliau mempu menghasilkan kira-kira 600 hingga 700 biji kuih bulan yang berwarna-warni dan pelbagai corak sehari sambil dibantu pekerjanya bermula awal Ogos hingga 21 September sempena perayaan Kuih Bulan.
Bagaimanapun katanya, sejak penularan pandemik Covid-19 tahun lalu, perniagaannya turut terjejas selain terpaksa menutup premis perniagaan yang terletak di Bandaraya Kuching disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sebagai peniaga yang menjual di kawasan tarikan utama pelancong sememangnya saya turut terjejas dari segi ekonomi. Tahun lalu sahaja, saya hanya dapat menjual sekitar 400 hingga 500 biji dalam sehari menggunakan kaedah pemasaran secara digital melalui platform media sosial bagi memasarkan produk.
“Berbeza dengan tempahan tahun ini ada sedikit peningkatan berbanding tahun lalu dan saya amat bersyukur sebab perniagaan saya masih mampu untuk ‘bernafas’ ketika pandemik Covid-19 yang menjejaskan sosioekonomi negara.
“Bagaimanapun, saya hanya dapat menerima tempahan dalam Sarawak dan Semenanjung sahaja sementara tempahan daripada pelanggan di Sabah terpaksa ditolak kerana penghantaran mengambil masa yang lama. Takut nanti kek tidak ‘fresh’ lagi apabila sampai ke pelanggan,” tambahnya.
Harga sebiji kuih bulan berintikan kek lapis ialah RM15 dan ia sesuai untuk dijadikan hadiah atau buah tangan kepada keluarga dan rakan-rakan sempena perayaan pertengahan musim luruh (Pesta Tanglung) pada 21 September nanti.
Oleh SYAMIMI HUSNA