
KUCHING: Kapel St David di Kampung Bumbok menerima sumbangan berjumlah RM195,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebagai sokongan kepada usaha pembangunan dan penambahbaikan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak.
Penyerahan cek berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang sempena Perhimpunan Krismas yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Bumbok, semalam.
Sumbangan ini akan digunakan untuk tujuan pembangunan dan penambahbaikan Kapel St David seperti menaik taraf kemudahan ibadat dan menyokong pelbagai aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan bagi jemaah dan penduduk setempat.
Pihak Kapel St David menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak dan UNIFOR atas sumbangan yang diberikan terutamanya hasrat mereka untuk memperkukuh lagi tali persaudaraan dalam kalangan masyarakat berbilang agama di kawasan Kampung Bumbok.
Langkah ini diharapkan akan lebih banyak kerjasama dan aktiviti yang dapat dijalankan untuk memupuk semangat perkongsian dan keharmonian dalam masyarakat.
-UKAS