
SIMANGGANG: Tiga sekolah Mubaligh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima peruntukan berjumlah RM370,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi memperkukuhkan pendidikan dan pembangunan pelajar.
Antara sekolah yang menerima peruntukan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke, Sri Aman (RM200,000); Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke, Sri Aman (RM90,000) dan SK Saint Lawrence, Sabu (RM80,000).
Cek tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis semasa merasmikan Majlis Upacara Legasi Lukean 2025 di Dewan Stonton, SMK Saint Luke, semalam.
Selain itu, Harden turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Saint Luke bagi tahun 2026 untuk membiayai aktiviti sekolah dan melahirkan modal insan berpengetahuan.
Majlis tersebut diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum serta sahsiah sepanjang tahun penilaian.
Ia juga bertujuan merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pihak sekolah, serta memberi peluang kepada ibu bapa menilai usaha sekolah dalam mendidik pelajar mencapai kecemerlangan dan menjadi modal insan berkualiti.
Harden, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, menggesa semua pihak termasuk PIBG dan Lembaga Pengurusan Sekolah untuk sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah.
Ini termasuk membiayai program tambahan seperti tuisyen kepada pelajar yang memerlukan agar pencapaian mereka lebih membanggakan.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak untuk memanfaatkan peluang pengajian percuma di universiti milik kerajaan Sarawak melalui inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Universiti terbabit termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia Kampus Miri dan Kolej Universiti i-CAT.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin, Pengetua SMK Saint Luke, Limok Shem, Yang Di-Pertua PIBG SMK Saint Luke, Alfred Kendim, serta jemputan lain.
Oleh Adi Safarman