SARIKEI: Sejumlah keseluruhan RM3.3 juta telah disalurkan untuk pembangunan infrastruktur Gereja St Anthony sejak beberapa tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii baru-baru ini telah menyerahkan peruntukan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebanyak RM200,000 untuk pembinaan infrastruktur gereja tersebut.
“Saya sangat mengambil berat tentang pembangunan agama dan telah menyalurkan lebih kurang RM3.3 juta kepada Persatuan Gereja St Anthony selama beberapa tahun ini untuk tujuan pembangunan.
“Peruntukan yang disalurkan adalah dari peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan UNIFOR,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, menerusi peruntukan RTP, sebanyak RM500,000 pada 2018, RM650,000 (2019), RM300,000 (2020), RM200,000 (2021), RM200,000 (2022), RM200,000 (2023) dan RM200,000 (2024).
“Sementara itu, peruntukan melalui UNIFOR adalah sebanyak RM300,000 (2018), RM300,000 (2021), RM250,000 (2022) dan RM200,000 (2024), tidak termasuk peruntukan lain yang diperoleh.
“Sarawak sangat bertuah di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat (YAB) Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di mana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menikmati kestabilan politik dan ekonomi yang membawa kepada perkembangan dan kemakmuran,” katanya.
Oleh Earl Anek