
BINTANGOR: Dua gereja di Meradong menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM180,000 bagi memperkukuh pembangunan prasarana melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Peruntukan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, hari ini.
Gereja Methodist Ming Kwong menerima RM100,000, manakala Gereja BEM Bandar Bintangor menerima RM80,000 untuk tujuan penyelenggaraan, pembangunan dan naik taraf kemudahan gereja masing-masing.
Dalam ucapannya, Koung Hiing menegaskan bahawa kerajaan Sarawak komited untuk memastikan keharmonian antara masyarakat pelbagai agama terus diperkukuh, selain membantu rumah ibadat melaksanakan kerja penyelenggaraan, pembangunan dan menaik taraf fasiliti demi keselesaan penganut masing-masing.
“Kerajaan negeri amat menitikberatkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Peruntukan melalui UNIFOR ini membantu pihak gereja melaksanakan kerja penyelenggaraan serta menaik taraf fasiliti demi keselesaan penganut,” katanya.

Beliau turut berharap agar dana tersebut digunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan fungsi gereja sebagai pusat pengukuhan rohani dan perpaduan dalam komuniti setempat.
“Saya berharap peruntukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan peranan gereja sebagai pusat pembangunan rohani dan pengukuh hubungan masyarakat.
“Penyerahan peruntukan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan semua agama diberi perhatian sewajarnya, selaras dengan komitmen Sarawak terhadap perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pihak gereja untuk menyediakan laporan lengkap setelah kerja menaik taraf selesai dilaksanakan.
“Saya berharap pihak gereja yang menerima peruntukan UNIFOR menyediakan laporan apabila siap dilaksanakan untuk menaik taraf prasarana gereja kerana ia adalah amat penting untuk mendapatkan permohonan seterusnya,” tambahnya.
Oleh Earl Anek