UNIFOR salur RM1 juta untuk naik taraf dua rumah ibadat di DUN Simanggang

Facebook
WhatsApp
PENYERAHAN cek peruntukan berkenaan telah berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Simanggang, semalam. Foto: ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus memperkukuh komitmen dalam menyokong keperluan komuniti agama di Sarawak menerusi peruntukan berjumlah RM1 juta kepada dua rumah ibadat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.

Penyerahan cek peruntukan berkenaan berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Simanggang, semalam.

Peruntukan itu disampaikan oleh Pegawai Tadbir Khas, Philip Foster Hollis ysng mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.

Daripada jumlah tersebut, Gereja Roman Katolik Archbishop of Kuching menerima peruntukan sebanyak RM800,000. Peruntukan berkenaan akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian struktur bangunan serta menaik taraf kemudahan gereja.

Sementara itu, Gereja Methodist Sing Eng menerima RM200,000 bagi tujuan kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf kemudahan sedia ada.

Bantuan tersebut membuktikan usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan rumah-rumah ibadat bukan Islam turut mendapat perhatian dari aspek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur.

Kemudahan yang lebih baik diharap dapat menyediakan persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif kepada para penganut ketika menjalankan aktiviti keagamaan.

Pada masa sama, kemudahan berkenaan turut memberi manfaat kepada komuniti setempat yang menggunakan rumah ibadat bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Penyaluran geran itu juga memperlihatkan pendekatan Sarawak yang terus menghormati kepelbagaian agama serta menyokong keperluan komuniti tanpa mengira latar belakang.

Secara keseluruhannya, RM1 juta diperuntukkan dengan RM800,000 kepada Gereja Roman Katolik Archbishop of Kuching dan RM200,000 kepada Gereja Methodist Sing Eng.

Peruntukan berkenaan diharap dapat memastikan kerja-kerja naik taraf dilaksanakan dengan baik sekali gus meningkatkan keselesaan serta manfaat rumah ibadat kepada masyarakat di Simanggang.

Oleh Adi Safarman