
SIBU: Namo Buddha Society Sibu terus menerima perhatian kerajaan apabila Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan RM1 juta bagi meneruskan fasa ketiga projek pembinaan biara baharu persatuan itu di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, berkata peruntukan terbaharu itu melengkapkan sokongan berperingkat yang mula diberikan sejak 2021, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan diterima persatuan tersebut kini mencecah RM1.65 juta.
Menurutnya, komitmen berterusan UNIFOR itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan rumah ibadat bukan Islam turut menikmati pembangunan yang seimbang.
“Sarawak kekal sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai mekanisme teratur untuk menyokong pembangunan institusi agama bukan Islam dengan bermulanya inisiatif ini pada era Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 2017 dan kini diteruskan di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
“Untuk tahun ini sahaja, kerajaan meluluskan RM110 juta bagi tujuan pembinaan dan menaik taraf rumah ibadat serta sekolah mubaligh.
“Ini dasar inklusif Sarawak yang menghargai kepelbagaian agama,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mengulas kemajuan projek, Chieng memaklumkan pembinaan biara berkenaan menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
“Tahun lepas hanya tapak asas siap. Hari ini sudah naik dua setengah tingkat. Menurut pengerusi persatuan, struktur utama dijangka siap hujung tahun depan,” katanya.
Biara baharu itu, yang dikenali sebagai Namo Buddha Monastery, bakal menjadi pusat ibadat pertama seumpamanya di Sibu dan berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu yang mampu merancakkan ekonomi setempat.
Chieng turut menyatakan kawasan sekitar tapak pembinaan itu turut diperuntukkan kepada tujuh hingga lapan pertubuhan keagamaan lain, termasuk Buddhist dan gereja, sebagai usaha kerajaan memupuk keharmonian antara penganut pelbagai agama.
“Mana-mana pertubuhan agama yang ingin memohon bantuan melalui UNIFOR boleh menghubungi saya. Saya akan bantu sebaik mungkin,” ujarnya.
Hadir sama, Presiden Namo Buddha Society Sibu, Leong Chew Ling, serta ahli jawatankuasa persatuan.
Oleh Tarani Lanting