

SUMBANGAN UNIFOR… Awang Tengah bersama Dr Abdul Rahman, Hasbi dan Paulus menyampaikan beberapa geran UNIFOR pada Majlis Sambutan Pra Krismas N80 Batu Danau Limbang bagi 2025 di Dewan Serbaguna St Edmund.
LIMBANG: Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Sarawak menjadi bukti jelas bahawa negeri ini menekankan prinsip keadilan dan kebebasan beragama dalam kepelbagaian masyarakat berbilang agama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, UNIFOR ditubuhkan semasa pentadbiran bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Penubuhan itu bertujuan membantu pembangunan fizikal rumah ibadat seperti gereja, tua pek kong, kuil dan lain-lain di seluruh negeri.
Menurut beliau, sokongan berterusan terhadap UNIFOR telah berjaya membina ekosistem antara agama yang kukuh dan stabil, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai model perpaduan untuk negara.
“UNIFOR ditubuhkan sejak zaman Allahyarham Tok Nan dan kini dipertingkatkan lagi dengan peruntukan tambahan tahun depan. Ini bukti kerajaan kita berasaskan prinsip keadilan, agama-agama lain juga diberi bantuan, dan kita mahu mengekalkan keharmonian hidup masyarakat berbilang agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Pra Krismas N80 Batu Danau Limbang bagi 2025 di Dewan Serbaguna St Edmund, di sini, malam tadi.
Awang Tengah menegaskan, Sarawak terus hidup harmoni dan bersatu padu meskipun berbeza agama, kaum dan bangsa. Keunikan negeri ini bukan sahaja pada kepelbagaian masyarakat, tetapi juga pada amalan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Kerajaan negeri komited memastikan setiap rakyat Sarawak, tanpa mengira etnik, kepercayaan atau wilayah, mendapat manfaat daripada agenda pembangunan negeri.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang serta Residen Limbang, Unus Tambi.
Oleh Adeng Edrus