
SARATOK: Kelulusan permohonan dana daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) diharapkan dapat merealisasikan impian untuk menaik taraf Tokong Fung Shan Shu Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata sejak penubuhan UNIFOR, agensi tersebut telah banyak membantu menyelesaikan masalah rumah ibadat yang daif di negeri ini.
“Sebelum UNIFOR ditubuhkan, tiada badan khusus yang menjaga keperluan dan kebajikan pertubuhan-pertubuhan keagamaan ini. Ketika itu, banyak aduan diterima berhubung keadaan rumah-rumah ibadat yang uzur dan kurang penyelenggaraan.
“Namun kini, keadaan itu tinggal sejarah. UNIFOR telah mengubah landskap rumah ibadat di Sarawak dengan menaik taraf pelbagai kemudahan keagamaan yang sebelum ini daif,” katanya ketika menerima kunjungan pihak pengurusan Tokong Fung Shan Shu Saratok yang diketuai oleh Pemanca Lim Guan Ann, semalam.
Menurut Mohamad Duri, inisiatif kerajaan Sarawak menubuhkan UNIFOR bukan sahaja menjadi contoh dalam negara, malah boleh dicontohi di peringkat antarabangsa, kerana mencerminkan keprihatinan terhadap semua kaum, agama dan budaya.
“Tiada kerajaan negeri lain di Malaysia yang mempunyai unit khas seperti UNIFOR, yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan agama-agama lain selain Islam.
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa menitikberatkan keharmonian antara kaum dan agama, dan berkhidmat kepada semua masyarakat tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama,” jelasnya.
Dalam pertemuan tersebut, turut dibincangkan adalah keperluan serta permohonan daripada komuniti Cina di kawasan DUN Kalaka.
Beliau turut menegaskan bahawa segala permasalahan masyarakat Melayu, Iban dan Cina sentiasa diambil perhatian dan diselesaikan secara berhemah, demi memastikan kelangsungan projek pembangunan serta mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.
Oleh Adi Safarman