KUCHING: Pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi pusat mengundi awal Parlimen Petra Jaya yang melibatkan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, seramai 830 Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis akan mengundi awal disini hari ini dengan empat saluran mengundi disediakan.
“Setakat 8.42 pagi ini, jumlah yang mengundi awal adalah 82 orang dan proses pengundian ini akan berlangsung sehingga 5.00 petang,”katanya.
Beliau berkata jumlah keseluruhan pengundi awal PDRM Sarawak mengikut daftar pemilih undi awal yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak 8,050 orang.
“Mereka ini terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis termasuk pasangan pegawai kanan dan pegawai rendah Pasukan Gerakan Am iaitu seramai 412 orang.
“Jumlah undi pos PDRM Sarawak pula adalah sebanyak 1,821 anggota dan undi pos PDRM sudah mula diproses selepas Hari Penamaan Calon pada 5 November lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan proses pengundian awal disini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata yang menunaikan tanggungjawab mengundi.
Calon Parlimen Petra Jaya Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof turut kelihatan hadir bagi melakukan tinjaun di pusat pengundian tersebut.
Oleh SHAHRUL QAIZAT