
PEMBANGKANG dilihat tidak berani mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Sebaliknya hanya berani buat politik acahan dengan pelbagai dakwaan yang lemah dan tidak dapat dipertangggungjawabkan.
Mereka juga memilih untuk membuat ‘Perhimpunan Undur Anwar’ berbanding berdepan secara demokrasi di Dewan Rakyat.
Hal ini disebabkan banyak faktor yang pembangkang hadapi dan sebab itu lebih suka bermain dengan retorik, emosi dan persepsi cuba untuk mengelirukan rakyat dan pengundi mereka sendiri.
Kekurangan sokongan majoriti
Hakikatnya, gabungan Kerajaan Perpaduan kini dianggar mempunyai lebih daripada 150 Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan angka ini sangat kukuh dan apa-apa usul pembangkang tidak akan berjaya kerana tidak cukup jumlah.
Hal ini kerana pembangkang yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya hanya mempunyai sekitar 70–80 Ahli Parlimen, jauh daripada jumlah yang diperlukan untuk mendapat majoriti mudah, iaitu sejumlah 112 sokongan Ahli Parlimen.

Tanpa bilangan yang mencukupi, membawa usul hanya akan mendedahkan kelemahan sebenar pembangkang. Kegagalan ini boleh menjadi tamparan politik besar dan menghakis kepercayaan penyokong terhadap kekuatan PN.
Strategi persepsi dan realiti parlimen
Faktanya sekiranya pembangkang membawa usul tidak percaya adalah tindakan formal atau rasmi terbuka dan direkodkan dalam Hansard Parlimen. Perkara ini adalah rekod sejarah yang boleh dirujuk dan dipertanggungjawaban.
Sebaliknya, perhimpunan jalanan boleh digerakkan melalui persepsi, emosi dan naratif politik, tanpa perlu bukti angka sebenar.
Ternyata pilihan untuk fokus kepada perhimpunan seperti ‘Undur Anwar’ menunjukkan pembangkang lebih cenderung kepada permainan persepsi, bukannya tindakan strategi politik konkrit dan tepat. Maka ini boleh dilihat sebagai pengalihan daripada kegagalan mencabar kerajaan secara sah dan demokratik dalam Dewan Rakyat.
Risiko politik jika usul gagal
Jika usul undi percaya dibentangkan gagal, pembangkang akan berdepan risiko politik yang amat parah. Hal ini kerana kegagalan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Perdana Menteri, malah boleh melemahkan imej pembangkang secara nasional.
Perkara ini boleh digunakan oleh pihak kerajaan untuk mengatakan pembangkang hanya ‘menyalak kosong’.
Maka ternyata pembangkang dilihat bermain selamat dengan elak risiko undi yang boleh menjadi senjata makan tuan. Pendekatan ini menunjukkan kurang keberanian politik, dan ia boleh menyebabkan rakyat melihat pembangkang sebagai tidak bersedia mengambil tanggungjawab secara serius.
Ketiadaan pemimpin alternatif yang kukuh
Sehingga kini Perikatan Nasional tidak secara rasmi menamakan calon Perdana Menteri baharu jika Anwar dijatuhkan. Tidak ada konsensus jelas antara parti pembangkang mengenai calon mereka yang boleh menggantikan Anwar Ibrahim.
Tanpa calon alternatif yang diyakini, usaha menjatuhkan PM kelihatan tidak bertanggungjawab dan hanya bermotif politik semata. Rakyat mungkin melihat usaha seperti perhimpunan ‘Undur Anwar’ sebagai destruktif, bukan konstruktif.
Ketidaksepakatan dalaman pembangkang
Kini terdapat tanda-tanda perbezaan pendekatan dalam PN dan sesetengah sekutu pembangkang – antara yang mahu ‘langkah Dubai’, dan yang mahu kekal dalam demokrasi formal.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal merujuk kepada dakwaan ‘Langkah Dubai’ yang kononnya telah mendapat 123 sokongan Ahli Parlimen untuk mencalonkan Perdana Menteri baharu daripada Perikatan Nasional.
Namun dakwaan ini tidak disokong bukti kukuh atau didedahkan secara rasmi. Maka ia boleh dipersoalkan. Misalnya, jika benar, mengapa tidak ada usul dibawa ke Parlimen? Fakta ini melemahkan kredibiliti dakwaan tersebut.
Pendekatan terhadap perhimpunan aman
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan yang menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, termasuk terhadap perhimpunan yang dijadualkan pada 26 Julai 2025 yang bertujuan mendesak beliau berundur.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan tidak akan menghalang perhimpunan tersebut selagi ia berlangsung secara tertib dan mematuhi undang-undang.
Penegasan ini mencerminkan pendirian beliau yang konsisten dalam mempertahankan prinsip demokrasi berperlembagaan serta menolak sebarang bentuk perubahan kuasa yang tidak mengikut proses institusi yang sah.
Respons Anwar dan proses undang-undang
Anwar memberikan respons terhadap desakan pembangkang dengan berpegang kepada kerangka undang-undang dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Beliau secara terbuka mencabar pembangkang supaya menggunakan saluran sah, iaitu melalui Dewan Rakyat, sekiranya benar mereka memiliki sokongan majoriti untuk menjatuhkan kerajaan.
Kenyataan beliau menunjukkan komitmen kepada amalan demokrasi berparlimen yang telus dan tertib. Namun, sehingga kini, tiada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan oleh pembangkang dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung.
Ini secara langsung membuktikan bahawa pembangkang sama ada belum memperoleh sokongan mencukupi atau tidak yakin untuk membuktikan kekuatan mereka secara rasmi di Parlimen.
Kedudukan Dewan Rakyat
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, telah mengesahkan secara rasmi bahawa tiada sebarang usul undi tidak percaya diterima sepanjang sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hingga 28 Ogos 2025.
Fakta ini menunjukkan bahawa tidak ada tindakan formal yang diambil oleh pembangkang walaupun retorik politik yang lantang terus dimainkan di luar Parlimen.
Ketiadaan usul ini menimbulkan persoalan terhadap keseriusan dan kesediaan pembangkang untuk mencabar kerajaan melalui saluran yang sah dan sahih, seperti diperuntukkan oleh sistem demokrasi negara.
Pembangkang dilihat tidak berani membawa usul undi tidak percaya kerana mereka tidak cukup bilangan, tiada calon alternatif yang jelas, dan takut menghadapi kegagalan terbuka.
Sebaliknya, mereka memilih perhimpunan jalanan sebagai jalan pintas, walaupun pendekatan itu lebih lemah dari segi impak politik sebenar dan tidak membawa perubahan sah dalam sistem demokrasi berparlimen.
Tindakan ini lebih bersifat retorik daripada realistik hanya untuk manipulasi emosi pengundi, dan mungkin hanya memberi kesan kepada penyokong sedia ada – bukan mengubah sokongan rakyat secara menyeluruh.
Rumusan
Sebenarnya tindakan pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya secara saluran sah menandakan ketidakyakinan dan ketidakupayaan pembangkang dalam realiti politik.
Ini sebenarnya mengambarkan watak sebenar pembangkang pada masa sama menyerlahkan kekuatan Kerajaan Perpaduan yang lebih diyakini berbanding pembangkang.
Tindakan pembangkang ini sebenarnya membantu mengukuhkan lagi kedudukan Perdana Menteri apabila pembangkang terus berdolak-dalik dan tidak berani mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Anwar pula menunjukkan keyakinan berdasarkan realiti bilangan kerusi dan kekuatan gabungan kerajaan. Kritikan pembangkang hanya akan berkesan jika disusuli dengan tindakan Parlimen yang sah dan terbuka!
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)