USUL undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya lulus tanpa bantahan. Undi percaya ini dilakukan dengan undian suara. Keputusan ini menjadikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri untuk tempoh lima tahun akan datang. Kejayaan usul undi percaya ini membawa kepada kestabilan politik dan fokus kepada membina negara sepanjang tempoh penggal parlimen ini berlangsung.
Undi suara adalah salah suatu kaedah di dewan rakyat. Lazimnya dalam tradisi negara Westminster, Speaker akan menyatakan usul dan Ahli Parlimen hanya perlu berkata “setuju” atau ‘tidak bersetuju’. Sekiranya suara ‘setuju’ sangat kuat didengari, maka ia akan lulus secara serta merta.
Melainkanlah pembangkang meminta usul undi belah bahagi untuk melihat jumlah sokongan yang diterima. Namun pembangkang tidak pula mengusulkan undi belah bahagi dan ini menunjukkan ketidakyakinan pembangkang untuk menang undi belah bahagi itu.
Dalih pembangkang
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menggunakan alasan bahawa, pembangkang tidak meminta undi belah bahagi kerana tidak mahu mengundi “dokumen yang tidak sah” yang beliau merujuk kepada memorandum persefahaman antara parti-parti kerajaan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dan mendukung Anwar sebagai Perdana Menteri.
Memorandum persefahaman Kerajaan Perpaduan tidak pula ada kaitan dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional dan ini menunjukkan digunakan sekadar sebagai alasan ketua whip untuk terlepas imej kalah undi belah bahagi mereka.
Mekanisme undi belah bahagi
Sekiranya undi belah bahagi dilaksanakan, maka akan dilaksanakan dengan lebih telus dan spesifik agar tidak mengelirukan atau boleh membawa kesilapanan. Ia perlu ada pemerhati dari pihak lawan bagi memastikan setiap penghitung undi tersebut tidak berlaku kesilapan. Hal ini bermakna bagi memastikan kelancaran dan ketepatan setiap ketua penghitung undi bagi blok pembangkang atau kerajaan, akan disemak balas oleh pemerhati dari parti pihak lain.
Pemerhati yang dilantik untuk menghitung undi, diminta mengundi terlebih dahulu sebelum memantau blok yang mengundi. Bukan tidak pernah berlaku kesilapan dalam undi belah bahagi ini. Ia pernah berlaku kesilapan ketika pengundian peruntukan Belanjawan 2021 sedangkan Ahli Parlimen tersebut tidak ada di dalam Dewan Rakyat ketika pengiraan dibuat.
Persoalan ketidakcukupan
Faktor Perikanan Nasional tidak mengadakan atau meminta undi belah bahagia untuk menolak usul undi percaya terhadap Perdana Menteri sangat menarik untuk dianalisis. Hal ini kerana wakil-wakil rakyat dari parti PAS dan BERSATU tidak pula bangun untuk meminta undi belah bahagi untuk menolak sokongan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Shahidan Kassim misalnya menyatakan adalah membuang masa untuk membuat undi percaya terhadap Anwar sedangkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sudah bersetuju untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. Namun sebelum itu, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhiyiddin Yassin yakin mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen dan beliau berasa layak sebagai Perdana Menteri ke-10.
Cabaran usul percaya
Malah PN dikatakan sebelum itu sudah mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong. Beliau juga mendakwa jumlah SD yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Namun dikatakan 10 SD dimiliki oleh wakil rakyat Barisan Nasional tanpa pengetahuan daripada Blok Barisan Nasional sendiri. Selepas Akta Anti Lompat Parti diluluskan, SD secara individu tidak lagi terpakai untuk sokongan pembentukan kerajaan baharu. Sebaliknya sokongan secara blok adalah sah dan digunakan bagi tujuan pembentukan kerajaan.
Gimik politik
Sebenarnya cabaran usul undi percaya pengerusi Perikatan Nasional adalah tidak lebih daripada gimik politik bagi menampung ‘malu politik’ apabila PN sendiri sebenarnya tidak mempunyai sejumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Ia tidak lebih sebagai ‘mekanisme bela diri’ agar tidak dipertikaikan oleh penyokong mereka sendiri.
Dalam PN sendiri dilihat agak bermasalah apabila penyokong PAS memberikan kemenangan undi sehingga PAS mendapat 43 kerusi pada kemenangan ini manakala BERSATU hanya mempunyai 30 kerusi. Namun Presiden PAS sendiri tidak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri. Sebaliknya, nama Muhiyiddin dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Begitu juga isu calon ketua pembangkang, meskipun PAS merupakan blok terbesar dalam PN, namun nama Hadi Awang tidak tercalon sebagai calon ketua pembangkang. Malah, pimpinan tertinggi termasuk timbalan presiden, naib presiden PAS juga tidak tersenarai atau dicalonkan. Bukan pula Muhiyiddin sebagai calon ketua pembangkang.
Akan tetapi nama Hamzah Zainuddin dicalonkan sebagai ketua pembangkang. Situasi ini memberikan tafsiran politik bahawa Hadi Awang dan Muhiyiddin tidak akan memainkan peranan yang aktif dalam politik nasional selepas ini setelah kegagalan PN membentuk kerajaan.
Sebaliknya PN dijangka akan digerakkan oleh personaliti politik seperti Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali. Berdasarkan perkembangan terkini, maka Hadi Awang dan Muhiyiddin lebih dianggap sebagai simbol PN dalam gerakan politik, namun gerakan-gerakan yang lebih dinamik akan dimainkan oleh Hamzah Zainuddin.
Pandangan mengelirukan
PN mengemukakan pandangan yang bukan sahaja mengelirukan akan tetapi bertentangan dengan pendirian pengerusi PN sendiri. Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak bersetuju dengan usul berkenaan apabila persidangan Dewan Rakyat bagi membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri ke-10 dilaksanakan. Beliau menyatakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah mengabsahkan pelantikan tersebut. Malah semua ahli pembangkang PN tidak pula berani mencadangkan undi belah bahagi dilaksanakan untuk usul undi percaya Anwar sebagai Perdana Menteri.
Bayangkan, kalau semua Ahli Parlimen pembangkang bangun memohon undi belah bahagi dan menolak. Tetapi ini tidak berlaku dan mereka tidak ada keberanian untuk melakukannya. Seolah-olah mereka sudah mendapat arahan daripada ketua politik mereka mereka sendiri untuk tidak bangun meminta undi belah bahagi bagi mengelakan ‘aib politik’ yang besar jika diteruskan usaha yang sia-sia itu.
Perkara ini berlaku kerana mereka tahu, mereka tidak mempunyai cukup undi untuk menang undi menolak usul percaya kepada Perdana Menteri. Justeru, mereka memberikan pelbagai alasan dan ini mencerminkan sikap pembangkang yang tidak konsisten malah ketidakupayaan atau kurang kompeten.
Misalnya, apabila undi percaya Perdana Menteri sudah lulus menggunakan suara majoriti, mereka menyatakan ia suatu akademik dan Yang di-Pertuan Agong sudah melantik Anwar sebagai Perdana Menteri. Ada kononnya kurang mendengar, atau tidak tahu jumlah walaupun ketika masa hendak mengundi kata undi percaya tidak perlu pula.
Sikap berdolak-dalik ini menunjukkan pembangkang dalam keadaan lemah dari segi hujah dan hanya mampu memberikan alasan yang lemah.
Retorik pembangkang
Apabila tidak mengusulkan undi membuat undi belah bahagi ini menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk menentang undi percaya sendiri kerana tidak mempunyai data dan hujah yang kuat. Maka, mereka hanya bermain dengan retorik, sentimen dan cuba mengelirukan pihak lain yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai undi percaya dan undi belah bahagi.
Apapun yang berlaku,berdasarkan peristiwa politik yang berlaku pada hari pertama persidangan dewan rakyat, maka pembangkang perlu bergerak ke depan dengan memastikan mereka dihormati dengan pandangan yang jitu, fakta kukuh, hujah kuat bagi melakukan semak dan imbang. Kalau berdasarkan hari pertama sidang pertama parlimen ini, pembangkang gagal membuktikan sebagai pembangkang yang matang dan berpengalaman.
Namun, pembangkang masih mempunyai masa untuk membuktikan mereka ini berkemampuan dan perlu keluar daripada kehebatan dunia berceramah politik di kampung-kampung kepada ketrampilan berhujah padu di parlimen untuk mendapat kepercayaan tinggi rakyat Malaysia.
Parlimen bukan pentas ceramah di kampung atau di media sosial, jadi mereka perlu jadi ahli parlimen berwibawa yang mampu membawa persona politik yang besar. Bukannya menjerit-jerit atau meninggikan suara tanpa isian dimensi ilmu dan intelektual!