
LUBOK ANTU: Satu undang-undang baharu perlu digubal bagi menguruskan dan mengoptimumkan penggunaan sisa buangan kilang-kilang sawit di Sarawak sebagai langkah strategik ke arah pembangunan industri hijau dan mampan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu akan dibincang lebih lanjut dengan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom serta Peguam Besar Negeri.
Beliau berkata pengurusan sisa secara terancang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengusaha sawit, malah mewujudkan sektor pertanian yang selari dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi penanda aras antarabangsa dalam pelaburan lestari.
“Kita tidak mahu sisa-sisa ini dibiarkan berasingan sehingga tidak cukup untuk dikomersialkan. Kita perlu gabungkan usaha antara sektor swasta dan kerajaan untuk menubuhkan satu entiti khas bagi mengumpul semua sisa daripada 85 kilang sawit di Sarawak,” katanya ketika berucap bagi merasmikan Kilang Pelumat Isirung Sawit milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata aspek pengumpulan sisa dalam jumlah besar sekitar 100 tan adalah syarat penting bagi memastikan pengeluaran produk hiliran seperti biobahan api, makanan ternakan, baja organik dan hidrogen dapat dilakukan secara cekap dan menguntungkan.

Beliau berkata cadangan penggubalan undang-undang itu juga wajar dilihat dalam konteks keupayaan dan potensi sebenar industri sawit Sarawak yang kini mendahului negeri lain di Malaysia.
“Sehingga hari ini, Sarawak adalah satu-satunya wilayah terbesar mengeluarkan sawit di Malaysia. Dulu Sabah (pengeluar terbesar negara), tetapi sekarang kita telah mengatasi Sabah,” katanya.
Bagi tempoh 2023 sahaja, Abang Johari berkata Sarawak berjaya mengeksport kelapa sawit bernilai kira-kira RM14.3 bilion ke pasaran antarabangsa dan jumlah ini dijangka meningkat jika negeri ini dapat mempelbagaikan hasil pengeluaran produk hiliran.
“Jika dapat hasilkan produk hiliran sawit, sudah pasti pendapatan diperoleh akan jauh melebihi RM14 bilion. Inilah arah tuju kita, daripada eksport bahan mentah kepada penciptaan nilai tambah,” katanya.
-Bernama