
KUALA LUMPUR: Unit aeroangkasa Sime UMW, UMW Aerospace telah menyerahkan selongsong kipas belakang pertama, 100 peratus buatan Malaysia kepada Rolls-Royce plc, menandakan pencapaian penting dalam keupayaan pembuatannya serta mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai aeroangkasa global.
Sime UMW dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan mengukuhkan kehadirannya dalam industri aeroangkasa dan memperluas peranan bahagian aeroangkasa syarikat itu kepada pengeluaran komponen enjin kritikal yang sebelum ini dihasilkan di Amerika Syarikat.
“Kontrak program selongsong kipas belakang yang diperoleh pada 2022 adalah kontrak kedua UMW Aerospace dengan Rolls-Royce, selepas kerjasama awalnya untuk membekalkan selongsong kipas depan.
“Berikutan pencapaian penting ini, selongsong kipas depan dan belakang yang dibekalkan kepada Rolls-Royce kini adalah 100 peratus buatan Malaysia,” katanya.
Menurut Sime UMW, program selongsong kipas belakang yang dibangunkan dan dilaksanakan oleh UMW Aerospace telah mewujudkan rangka kerja pengeluaran yang menyeluruh, termasuk proses pembuatan, peralatan khusus dan pemeriksaan, dan seterusnya diluluskan untuk pengeluaran bersiri.
Sime UMW memaklumkan, keupayaan syarikat itu diperkukuhkan lagi dengan pelaburannya dalam pengilangan kimia termaju, menjadikannya satu-satunya syarikat di Malaysia yang mempunyai kepakaran ini manakala harta intelek untuk keupayaan ini dibangunkan secara dalaman dan dimiliki oleh UMW Aerospace.
“Pencapaian ini turut disokong oleh kerajaan negeri Selangor, yang mempermudah pembangunan keupayaan pembuatan berteknologi tinggi di negeri ini,” katanya.
Menurutnya pembangunan bakat kekal sebagai fokus utama, disokong oleh hubungan yang kukuh dengan universiti tempatan serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional sekali gus membolehkan UMW Aerospace membangunkan tenaga kerja 100 peratus rakyat Malaysia.
Turut berangkat pada majlis meraikan kejayaan itu di Serendah ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, wakil Rolls-Royce, pemimpin industri dan pegawai kanan kerajaan. – Bernama