Oleh: Nabillah Bolhassan
I
“KAU kan yang curi duit aku! Pulangkan balik duit aku. Pulangkan!” Fasihah menjerit seperti dirasuk. Suaranya juga sudah serak kedengaran, akibat terlalu banyak menjerit. Di tubir mata penatnya sudah ada air mata yang mula menuruni pipi. Keadaan Fasihah betul-betul tidak terurus. Rambutnya kusut, beberapa kukunya pula ada kesan gigitan sehingga menggelupas dan berdarah. Tabiat menggigit kuku ini dipanggil sebagai ‘onycophagia’, iaitu dilakukan apabila seseorang mengalami ketidakseimbangan emosi dan juga menjadi petanda individu terbabit berasa takut, letih dan tertekan.
Jururawat yang berada bersama Fasihah cuba memujuk dan menenangkannya. Dia mengelus lembut rambut kusut Fasihah.
Fasihah menjeling sekilas tag nama jururawat tersebut sebelum kembali menjerkah, “Hoi, Azura! Kau tak payah nak buat-buat baik pulak dengan aku. Kau ingat kau pujuk aku macam ni, aku tak akan minta duit aku balik? Aku nak duit aku! Duit aku!”
“Kenapa ni? Awak ok ke Azura? Ada yang cedera?” Matron Mariam mendekati Azura dan Fasihah yang sudah terduduk di lantai Wad Harmoni itu.
Belum sempat Azura menyahut pertanyaan ketuanya, Fasihah terlebih dahulu menyampuk, “Dia curi duit saya puan. Tadi saya tengok dia kemaskan katil dan barang saya. Bila saya tengok balik barang-barang saya, duit saya dah hilang. Hoi, perempuan! Pulangkan balik duit aku! Sini kau aku nak periksa. Mesti ada duit aku dalam poket baju kau ni.” Fasihah merengkuh kasar uniform putih Azura.
“Fasihah! Saya tak curi duit awak. Saya tak curi!” Nyaring suara Azura menafikan tuduhan pesakitnya. Sudah hilang sabar barangkali dengan tuduhan Fasihah, apatah lagi apabila uniform putihnya disentak kasar. Jururawat lain yang tadinya berada di kaunter wad mula mendekati mereka bertiga.
“Azura, kawal emosi.” Matron Mariam menegur Azura.
Azura menghadiahkan pandangan sayu dengan gelengan lemah kepada Matron Mariam mohon pengertian, dia tidak melakukan tuduhan tersebut. Matron Mariam membalas dengan anggukan lembut sambil mendekati Fasihah.
“Fasihah, awak berehat dulu ya. Nanti saya minta jururawat yang lain carikan duit awak yang hilang tu.” Lembut Matron Mariam memujuk Fasihah sebelum meminta pembantu perubatan wad tersebut membawa Fasihah ke bilik pengasingan.
Dalam nada tegas namun masih terselit kelembutan seorang ketua yang berwibawa Matron Mariam memberi arahan kepada staf bawahannya, “Nurul, berikan suntikan kepada Fasihah agar dia bertenang. Jika keadaannya mula pulih esok, baru masukkan dia semula ke wad ini. Azura, jumpa saya di pejabat.”
Sebaik sahaja Azura melabuhkan punggung di kerusi, Matron Mariam terus bersuara, “Awak tak sepatutnya menengking pesakit seperti itu, Azura. Awak tahukan pesakit yang berada di wad kita ni tak sama dengan pesakit di wad lain.”
“Saya minta maaf, puan. Saya tak dapat kawal perasaan tadi. Saya sedar saya tak sepatutnya beremosi walaupun saya yakin tidak ada seorang pun akan percaya dengan tuduhan tersebut.” Suara Azura hampir sahaja tidak kedengaran.
Keadaan sepi sejenak. Hanya kedengaran bunyi kipas siling yang berputar di pejabat Matron Mariam. Matron Mariam memandang jururawat yang berada di hadapannya dengan pandangan lembut. Tak dinafikan Azura seorang jururawat yang komited dalam kerjanya, Cuma mungkin hari ini dia hilang kawalan.
“Saya berharap agar perkara ini tidak berulang kembali. Fasihah merupakan pesakit di bawah jagaan awak, selepas ini lebih banyak benda yang akan awak hadapi bersama dia. Dia jadi macam tu sebab dia sudah hilang kepercayaan kepada orang yang berada di sekelilingnya akibat masalah kewangan. Mungkin kita akan tahu dengan lebih lanjut selepas sesi kaunseling dia bersama Doktor Firdaus nanti.”
II
Keesokan harinya, Azura menyapa lembut Fasihah sambil dalam hatinya berulang kali membaca salawat agar Fasihah tidak memarahi dan menengkingnya lagi seperti semalam, “Selamat pagi Fasihah yang cantik. Hari ni awak ada sesi bersama Doktor Firdaus, tapi sebelum itu saya perlu periksa suhu dan tekanan darah awak. Saya periksa, ya?” Azura meminta izin.
Anak mata Fasihah memanah tepat ke wajah Azura, “Boleh! Tapi dengan syarat. Kau kena bayar balik duit aku.”
Azura hanya membalas kata-kata Fasihah dengan senyuman. Selepas selesai memeriksa keadaan Fasihah, dia memimpin tangan Fasihah untuk keluar dari bilik pengasingan dan dibawa ke bilik kaunseling, “Hari ini awak ada sesi kaunseling bersama Doktor Firdaus. Selepas selesai sesi nanti, saya bawa awak ke Wad Harmoni semula, ya.”
Doktor Firdaus mengangkat wajah dari kertas laporan yang ada di hadapannya sejurus pintu ditolak dari luar, “Fasihah, apa khabar hari ini?” ramah Doktor Firdaus bertanya.
Fasihah tunduk merenung lantai. Tidak punya keinginan mahu menjawab pertanyaan itu, apatah lagi mahu memandang doktor di hadapannya.
Melihat sapaannya tidak berjawab, Doktor Firdaus bertanya lagi cuba menarik minat Fasihah untuk bersembang, “Saya dengar awak marahkan Cik Azura semalam. Kenapa? Dia ada buat apa-apa ke?”
Mendengar saja nama Azura di sebut, pantas Fasihah mengangkat kepala, “Azura curi duit saya.”
Doktor Firdaus tersenyum, umpannya mengena, “Berapa banyak dia curi?”
“RM 20,000. Saya dah tak ada duit lain lagi, doktor. Itu sajalah simpanan yang saya ada. Sampai hati dia curi duit saya.”
Nampaknya Fasihah sudah mula selesa untuk bercerita, lantas Doktor Firdaus terus bertanya, “Banyaknya duit awak. Mana awak dapat duit banyak macam tu?”
“Saya buat banyak kerja, doktor. Waktu pagi sewal jam 4 saya dah bangun tolong mak masak nasi lemak. Sebelum masuk kerja di pejabat, saya hantar nasi lemak di warung. Waktu malam pula saya jual burger depan rumah. Hujung minggu saya mengajar tuisyen anak-anak jiran yang masih bersekolah rendah. Pada musim perayaan pula, saya menjual kek lapis. Kalau sekadar mengharap gaji sebagai kerani, berapalah sangat yang saya akan dapat.” Sudah kelihatan takungan air di tubir mata Fasihah.
Doktor Firdaus menghulurkan tisu, “Kenapa awak buat banyak sangat kerja dalam satu masa? Ada hutang yang perlu dibayar?”
Fasihah menggeleng lemah.
“Awak terdesak perlukan duit?” Doktor Firdaus bertanya lagi.
Fasihah mengangguk, “Saya nak hantar emak dan ayah saya menunaikan umrah, doktor. Saya anak sulung. Kalau nak harapkan gaji ayah saya sebagai pengawal keselamatan sekadar cukup untuk sekolahkan adik-adik saya. Saya kasihankan orang tua saya, berkali-kali menyatakan hasrat untuk menunaikan umrah apabila mendengar cerita sanak -saudara yang pernah menjadi tetamu Allah. Biarlah saya membanting tulang, asalkan impian mereka tercapai. Bagi saya ini salah satu cara saya boleh membahagiakan mereka.”
Doktor Firdaus masih tekun mendengar, sambil sesekali menulis sesuatu pada kertas laporan.
“Bertahun-tahun doktor, saya kerja siang malam demi mencukupkan wang simpanan. Saya nak mak dan ayah pergi ke sana dengan pakej yang selesa. Hotel yang dekat dengan masjid. Supaya mereka senang beribadah. Bila dah cukup simpanan, saya mula meninjau ejen yang menawarkan pakej umrah berpatutan. Ada satu hari tu, kawan yang pernah bersekolah bersama saya menawarkan pakej umrah bila dia dapat tahu saya tengah memilih ejen yang sesuai. Saya langsung tak syak apa-apa, doktor. Sebab Normala tu kawan saya. Tergamak dia menipu benda yang berkaitan dengan hal-hal agama macam ni.” Semakin deras air mata menuruni pipi Fasihah.
“Masih boleh teruskan? Atau awak nak sambung pada sesi berikutnya nanti?” Doktor Firdaus bertanya, risau emosi Fasihah terlalu penat untuk meneruskan sesi pada hari tersebut.
Fasihah terus meluah, “Dia hanya minta saya masukkan duit RM 20,000 ke akaunnya. Dia akan bantu daftarkan nama emak dan ayah saya mengikut pakej umrah terbaik yang ditawarkan oleh syarikat tempat dia bekerja. Sebab dia yang bantu daftarkan nama emak dan ayah, dapat diskaun harga pekerja katanya. Visa, tiket penerbangan pergi dan balik, hotel semua dia akan uruskan. Saya hanya perlu hantar emak dan ayah ke lapangan terbang pada hari penerbangan bersama pasport. Sehari sebelum penerbangan, saya dah tak sedap hati apabila mesej saya tak dibalas dan telefon saya dia tak angkat. Namun saya cuba sedapkan hati, saya tetap hantar emak dan ayah ke lapangan terbang. Luluhnya hati saya doktor…”
Tangisan Fasihah semakin kuat, “Syarikat ejen tersebut memang wujud. Namun apabila saya bertanya kepada salah seorang pekerja yang pada ketika itu sedang menguruskan proses pendaftaran masuk jemaah umrah yang lain, dia maklumkan tiada nama emak dan ayah didaftarkan untuk mana-mana pakej umrah. Katanya juga Normala sudah lama diberhentikan kerja akibat masalah disiplin. Dunia saya bagaikan runtuh ketika itu. RM 20,000 hasil titik peluh saya, membanting tulang bersengkang mata demi memenuhi hasrat emak ayah hilang sekelip mata. Sekelip mata…”
Suara Fasihah semakin kuat mengongoi, “Selepas daripada kejadian itu, saya tak boleh teruskan kehidupan seperti biasa. Saya akui, keadaan diri saya sungguh tak terurus. Emosi saya betul-betul terganggu. Saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana tidak boleh berhadapan dengan orang luar. Saya jadi sentiasa bersangka buruk dengan orang di sekeliling, sesiapa saja saya akan tuduh mereka mencuri duit saya. Ada rakan sekerja syak ada sesuatu yang tak kena pada diri saya dan menasihati emak untuk membawa saya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Selepas menjalani beberapa sesi rawatan sebagai pesakit luar, doktor mendapati saya menghidap tekanan mental – delusi paranoid dan saya diminta untuk masuk ke wad di sini untuk rawatan selanjutnya. Saya rindukan diri saya yang dulu. Walupun penat bekerja dari pagi ke malam, tapi saya gembira. Kerana penat lelah saya untuk orang yang saya sayang. Boleh ke saya dapatkan kembali kehidupan saya seperti dulu, doktor?”
Doktor Firdaus menghadiahkan senyuman buat Fasihah sambil mengangguk, “Sudah tentu. Asalkan awak patuh pada nasihat doktor, tidak culas makan ubat dan tidak memberikan pelbagai alasan untuk ponteng sesi kaunseling. Saya yakin awak akan segera sembuh.”
III
Sudah lima bulan berlalu, keadaan Fasihah bertambah baik. Rakan satu wad dengannya juga sudah bersilih ganti dengan pesakit yang baru. Sudah tentunya mereka yang menghuni wad tersebut mempunyai 1001 satu kisah perit sehingga mengalami gangguan mental seperti dia. Dalam diam dia memohon kepada Illahi agar diberi kekuatan dan kesembuhan kepada mereka.
“Fasihah, fikirkan apa tu? Nampak macam fikirkan sesuatu saja, ada yang menganggu fikiran awak? Ingat Fasihah, jangan dipendam. Cari orang yang awak percaya untuk luahkan semuanya.” Tegur Azura sambil menghulurkan beberapa biji pil kepada Fasihah.
Fasihah mengambil pil-pil itu lantas menelannya, “Tak ada apa-apa. Cuma terfikir apabila saya sudah keluar wad nanti, pasti saya akan rindukan wad ini, Cik Azura dan juga jururawat yang lain.”
Azura tersenyum sambil meminta Fasihah membuka mulutnya untuk memastikan semua pil tersebut sudah ditelan. Antara prosedur yang perlu dilakukan setiap hari, memastikan pesakit benar-benar sudah menelan pil yang diberi. Hal ini kerana ada pesakit yang licik berpura-pura sudah menelan pil yang diberi, hakikatnya pil tersebut disembunyikan di bawah lidah dan dibuang selepas jururawat berlalu. Lumrah pesakit mental, ada antaranya menafikan keadaan diri sendiri maka mereka merasakan tidak perlu untuk mengambil ubat.
“Kalau rindu datanglah melawat kami di sini. Jangan lupa bawa kek lapis. Fasihah kan hebat membuat kek lapis.” Gurau Azura sambil menampakkan barisan gigi putihnya.
“Boleh, apa salahnya. Cik Azura terima kasih banyak-banyak ya, kerana menjaga saya dengan baik sepanjang lima bulan ini. Banyak bersabar dengan saya. Saya minta maaf kerana pernah menyakitkan hati Cik Azura pada mula-mula saya masuk ke sini dulu.” Sebak Fasihah menuturkannya.
Azura mengusap lembut bahu Fasihah, “Sudah menjadi tugas saya, Fasihah. Awak pesakit yang baik, patuh setiap arahan doktor dan jururawat. Sebab itu awak cepat sembuh. Tengoklah keadaan awak sekarang, semakin cantik dan ceria. Nanti bila dah keluar wad, jangan ponteng temu janji untuk rawatan berkala, ya.”
Fasihah tersipu malu dipuji begitu, “Alhamdulillah, saya sendiri pun tak sangka boleh sembuh secepat ini. Baik, saya janji akan hadir setiap temu janji rawatan yang ditetapkan.”
“Masa emak Fasihah datang melawat dua minggu lepas, sempat dia maklumkan dia akan berangkat ke tanah suci pada bulan hadapan. Pakej umrah ditaja oleh ahli jawatankuasa masjid di tempat tinggal kamu ya, Fasihah? Benarlah kata orang, panggilan ke tanah suci ni Allah bukan memanggil yang mampu, tapi memampukan orang yang dipanggil. Emak dan ayah Fasihah sangat bertuah.”
Fasihah tersenyum senang. Petanda hati dan mindanya benar-benar lapang, “Ya, hikmah disebalik apa yang berlaku kepada saya dan keluarga, Allah menjemput emak dan ayah ke sana. Semoga kehidupan saya akan terus lebih baik selepas ini dan mampu berhadapan dengan masyarakat. Saya perlu bersedia dengan pelbagai persepsi orang di luar sana terhadap pesakit mental seperti saya.”
“Sentiasa ingat pesanan Doktor Firdaus, pesakit mental bukan penjenayah. Tidak ada apa yang perlu dimalukan. Saya yakin dengan pelbagai pendedahan di sosial media berkaitan masalah mental sekarang, masyarakat lebih terbuka minda mengenai penyakit ini. Awak sendiri pun nanti perlu memberi pendedahan kepada orang di sekeliling awak. Mana tahu, tanpa sedar awak boleh mendorong orang yang takut menerima kenyataan terbuka hati untuk menerima rawatan. Awak sendiri tahukan, penyakit ini tak sama dengan penyakit yang lain. Orang yang menghidapnya nampak sihat dari luaran, padahal bila diselidik jiwanya sudah parah.”
Fasihah mengangguk faham, “Baik, Cik Azura. Saya janji, saya juga akan cuba mendidik dan memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab untuk tidak mempunyai persepsi yang buruk terhadap penghidap penyakit mental serta mengambil berat dengan keadaan orang di sekeliling yang mungkin ada menunjukkan ciri-ciri pesakit mental agar perkara ini tidak berlarutan dan segera mendapatkan rawatan.”
Azura menghela nafas lega, “Saya gembira tengok keadaan awak seperti ini, Fasihah. Saya doakan agar awak akan terus sihat dan tenang selepas ini.”