- POLITIK Sabah sentiasa rapuh sejak dahulu!

SELEPAS kekalahan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, iaitu kira-kira lapan tahun dahulu, lima Ahli Parlimen, sembilan ADUN, dua senator dan 21 ketua Bahagian UMNO mengumumkan keluar parti.
Bermakna semua ketua bahagian UMNO kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan.
Khabarnya ada keterlibatan broker politik dari UMNO juga. Kata beberapa sumber di Kuala Lumpur, salah seorang pemimpin UMNO di Semenanjung yang memegang jawatan penting dalam parti terlibat langsung dalam peristiwa lompat parti ini.
Sebab itu, pemecatan dilakukan dengan menggantung selama enam tahun.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkash, tindakan ini dilakukan kerana pemimpin tersebut sering membelakangkan parti, termasuk bertindak menyokong Perikatan Nasional (PN) dan isu akuan bersumpah (SD) itu.
Puad Zarkashi berkata pemimpin tersebut ‘tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP (Ahli Parlimen) UMNO ke rumah (Datuk Seri) Azmin Ali… suruh Ketua Bahagian Sabah masuk BERSATU. Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin…”
Bermakna MKT UMNO bertindak selepas memberikan peluang kepada pemimpin tersebut sedar, namun tindak-tanduk masih lagi berterusan sehingga pada Januari 2023, MKT terpaksa membuat keputusan tegas agar UMNO tidak terus dilemahkan.
Lompat politik Sabah 2018
Peristiwa lompat parti pada 2018 di Sabah berlaku apabila Pengerusi UMNO Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengumumkan keluar parti.
Lima Ahli Parlimen itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Lapan lagi ADUN ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).
Dua senator UMNO yang keluar parti ialah Datuk Ghani Yassin dan Datuk John Ambrose.
Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Bendahari UMNO yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang merupakan Ketua Bahagian Kota Belud.
Ketika itu UMNO bahagian yang kehilangan ketuanya termasuk yang memangku ialah Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kimanis (memangku), Beaufort, Sipitang, Keningau, Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Silam, Semporna, Tawau, Libaran, Putatan dan Ranau.
Hajiji yang juga Pengerusi UMNO Sabah meninggalkan Umno dibuat secara sebulat suara. Beliau dalam sidang media tersebut mendakwa ‘malangnya, Umno kini kembali seperti dahulu. Kepimpinan sedia ada tidak mempunyai arah tuju politik yang jelas….kami tidak pasti ke mana hala tuju Umno.
‘Ada kenyataan bercanggah tentang masa depannya, bergantung kepada siapa di pucuk pimpinan yang anda bercakap dengannya.’
Sebenarnya UMNO Sabah jatuh kerana dikhianati oleh pemimpin mereka sendiri yang tidak ada daya tahan politik berdepan ujian kekalahan parti kali pertama dalam sejarah UMNO.
Fasa mengalih sokongan
Enam tahun kemudian, iaitu pada Februari 2023, terdapat pula lima ADUN UMNO Sabah mengisytiharkan sokongan terhadap Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
ADUN UMNO itu ialah ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari(Tempasuk) dan Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung).
Mereka berani bertindak sedemikian kerana tidak menghormati parti UMNO yang telah sekian lama banyak memberikan mereka peluang, kedudukan dan kuasa.
“Kami bersedia berdepan dengan sebarang tindakan daripada UMNO berikutan keputusan menyertai Gagasan Rakyat,” tegas jurucakap mereka.
Sebulan sebelum itu, pada 8 Januari lima ADUN UMNO iaitu ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan, Yusof, James, Jasnih dan Mohd Arsad bertindak mengekalkan sokongan kepada Hajiji walaupun Pengerusi Badan PerhubunganUMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu menarik balik sokongan tersebut.
Implikasi kerajaan Sabah
Selepas itu, DUN Sabah mempunyai 73 ADUN dilantik dan enam ADUN dipilih menjadikan keseluruhan 79 ADUN dan tindakan kesemua ADUN tersebut membolehkan Hajiji kini mempunyai sokongan majoriti 48 ADUN untuk terus mentadbir kerajaan Sabah.
Situasi politik di Sabah setakat 25 Mei 2023 memperlihatkan satu landskap kuasa yang sangat kompleks dan unik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Dengan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipilih melalui pilihan raya dan enam lagi kerusi yang boleh dilantik, Sabah bukan sahaja menyaksikan persaingan antara kerajaan dan pembangkang, malah turut menyaksikan persaingan dalaman dalam komponen parti yang sepatutnya bekerjasama.
Perkembangan terkini memperlihatkan struktur kerajaan negeri yang terbina atas gabungan pelbagai parti, perpecahan dalaman UMNO Sabah, dan kedudukan kritikal Pakatan Harapan dalam menyokong kestabilan GRS.
Keadaan ini mewujudkan ketidaktentuan menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, sekali gus menjadi medan ujian terhadap ketahanan Pakatan Perpaduan yang dibina selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Struktur Kerajaan
Setakat ini kerajaan negeri Sabah disokong oleh 55 ADUN, terdiri daripada 42 ADUN dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan 13 lagi melalui keyakinan dan pembekalan.
Dalam kalangan 42 ADUN GRS, GAGASAN mendominasi dengan 26 kerusi, diikuti STAR (6), PBS (7), SAPP (1), PHRS (1), dan satu ADUN yang menyokong GRS secara terus.
Gabungan ini menunjukkan bahawa GRS menjadi tulang belakang pemerintahan negeri walaupun ia bukan satu parti tunggal yang dominan seperti UMNO pada era lampau.
Sokongan tambahan melalui mekanisme ‘keyakinan dan pembekalan’ datang daripada lima ADUN UMNO yang pro-Hajiji (Kumpulan Shahelmey Yahya), tujuh ADUN Pakatan Harapan (terdiri daripada DAP, PKR, dan UPKO), serta masing-masing satu ADUN daripada PN dan PAS.
Perlu ditekankan bahawa bentuk sokongan ini bukan sebahagian daripada struktur rasmi GRS, sebaliknya bersifat luar pakatan, menjadikan kestabilan kerajaan bergantung kepada keharmonian antara parti-parti yang berbeza ideologi dan sejarah politik.
UMNO Sabah pecah dua, akibat belot
UMNO, parti yang dahulu merupakan peneraju utama politik Sabah, kini terpecah dua—antara kumpulan yang menyokong Ketua Menteri Hajiji Noor (diketuai Shahelmey Yahya) dan kumpulan yang kekal sebagai pembangkang (diketuai Bung Moktar Radin).
Perpecahan ini amat signifikan kerana ia menandakan kehilangan kuasa hegemoni UMNO dalam menentukan hala tuju politik negeri.
Persoalan sekarang ialah sejauh mana UMNO mampu melakukan tindak balas terbaik, apabila dalam tempoh lapan tahun sekurang-kurang beberapa kali pemimpin UMNO negeri Sabah sendiri banyak mengkhianati parti UMNO sendiri yang telah banyak berjasa kepada negeri Sabah, malah kepada individu pemimpin sentiasa banyak meraih kedudukan, pangkat dan kuasa ketika era UMNO menjadi pemerintah Kerajaan Pusat dan peneraju kerajaan negeri Sabah.
Yang paling pahit juga ialah apabila pemimpin UMNO Sabah yang selama ini dijadikan sandaran dan harapan oleh ahli UMNO di akar umbi sanggup mengkhianati UMNO ketika UMNO diuji dengan kekalahan di peringkat nasional selepas kejatuhan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
Kesemua ini dapat melihat wajah sebenar, nilai kesetiaan, sikap oportunis politik, ketamakan dan pengkhianatan politik sama ada perlu dimaafkan oleh rakyat atau ahli parti, pengundi atau pun sebaliknya.
Adakah sentimen ini bakal menjadi perkiraan penting kepada UMNO Sabah sebelum membuat keputusan bekerjasama dengan GRS, iaitu kelompok yang pernah melompat dari parti UMNO?
Bagaimana rupa kerjasama BN, GRS dan PH jika ini dilaksanakan? Sanggupkah akar umbi UMNO Sabah menerima kerjasama tersebut? Kesemua ini dijangka terjawap apabila DUN Sabah dijangka dibubarkan paling awal pada minggu ini!
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)