
KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) membuka ruang seluas-luasnya untuk menerima semula bekas ahli dan tokoh politik yang pernah meninggalkan parti itu menerusi pendekatan ‘forgive and forget’ bagi memperkukuh kekuatan parti menjelang pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha tersebut dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rumah Bangsa yang turut dianggotainya.
Menurutnya, jawatankuasa itu berperanan menilai permohonan daripada tiga kumpulan utama iaitu individu yang dikenakan tindakan disiplin, mereka yang keluar parti secara sukarela, serta orang awam yang ingin menyertai UMNO.
“Kita ingin terima kembali semua. Ini pemikiran di luar kotak untuk ‘forgive and forget’ bagi mengukuhkan UMNO di Semenanjung dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Menteri Kerja Raya bersama JKR dan CIDB di sini, hari ini.
Ahmad berkata, beberapa tokoh telah menunjukkan tanda positif untuk kembali, termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, manakala beberapa nama lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan individu lain yang sedang dipertimbangkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata proses permohonan untuk kembali ke UMNO adalah mudah dan tidak membebankan.
“Cukup sekadar hantar sepucuk surat, kemudian kita akan bawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi untuk keputusan,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi diadakan setiap bulan bagi meneliti permohonan tersebut.
Tambah beliau, UMNO juga cenderung mempermudahkan syarat termasuk mempertimbangkan permintaan pemohon untuk menggunakan semula nombor keahlian lama.
“Bila kita sudah buka pintu, takkan kita nak tolak pula. Pendekatan kita positif,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat