
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) melakar pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat ke-25 terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, berdasarkan prestasi cemerlang universiti berkenaan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kejayaan paling menonjol UM adalah apabila universiti itu dinobatkan sebagai nombor satu dunia bagi SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, dengan skor 99.8 peratus, sekali gus mencerminkan kekuatan kerjasama antarabangsa dan komitmen strategik terhadap pembangunan mampan.
Penyertaan aktif UM dalam rangkaian global seperti ASEAN University Network, Asian Universities Alliance dan United Nations Academic Impact turut memperkukuh pengaruh mereka merentasi pelbagai sektor dan sempadan.
Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pengiktirafan itu mengukuhkan komitmen universiti untuk membina masa depan yang mampan dan inklusif.
“Kejayaan yang kami kecapi hari ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kampus dalam merealisasikan pelan strategik kemampanan dan kehijauan kepada tindakan nyata yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat semasa, malah menyumbang penyelesaian kepada generasi akan datang dan dunia secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata UM akan terus memacu agenda kemampanan melalui kecemerlangan intelektual dan penyelidikan, di samping menjadikan kemampanan sebagai nilai budaya universiti.
“Kami akan terus melangkah ke hadapan untuk pencapaian baharu demi membina masa depan yang lebih cerah, berdaya tahan dan mampan bagi generasi akan datang, dengan berpaksikan kemajuan ilmu dan penyelidikan serta penerapan budaya dan konsep kemampanan yang strategik,” katanya.
UM turut mencatat prestasi cemerlang dalam beberapa SDG lain. Bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan, UM berada di tempat keempat dunia, hasil usaha seperti bantuan kewangan, penyediaan perumahan mampu milik dan inisiatif pengangkutan sempena musim perayaan kepada pelajar. Program jangkauan komuniti universiti turut menyokong golongan kurang berkemampuan dalam mendapatkan keperluan asas, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Bagi SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, UM menduduki tempat ketujuh dunia, dipacu oleh inisiatif kampus hijau dan dasar kemampanan yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia.
Universiti itu turut mencatat lonjakan ketara dalam SDG 15: Kehidupan di atas Darat, apabila naik ke tangga ke-12 dunia, menggambarkan kemajuan besar dalam pemeliharaan biodiversiti dan pendidikan alam sekitar.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi peranan UM sebagai peneraju global dalam bidang kemampanan dan komitmen mereka menjadi kampus neutral karbon menjelang tahun 2030.– Bernama