

SIMANGGANG: Seekor ular Tiung Cincin Emas sepanjang lima kaki berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman selepas menerima laporan daripada orang awam tengah hari tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.42 tengah hari daripada seorang pengadu yang melaporkan kehadiran seekor ular di atas pokok setinggi sekitar 20 kaki berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman.
“Bimbang akan keselamatan warga sekolah dan orang awam, pengadu bertindak menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Empat anggota APM terlibat dalam operasi berkenaan iaitu Koperal Mohd Zulkarnie Dawi, Lans Koperal Zakaria Mahat Abdul Rani, Lans Koperal Ngalai Lajan dan Prebet Mohd Abbas Bohari.
Pasukan berkenaan bergerak ke lokasi pada 12.45 tengah hari menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan tiba pada 12.58 tengah hari.
Operasi menangkap ular berkenaan berjaya diselesaikan sekitar sejam kemudian pada 1.48 petang.
Ular tersebut yang dikenal pasti sebagai spesies Boiga dendrophila atau lebih dikenali sebagai Tiung Cincin Emas, dipercayai tersesat ke kawasan berkenaan sebelum ditemui di atas pokok berhampiran sekolah.
Tiada sebarang kecederaan atau kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
Oleh Adi Safarman