
DEBAK: Kehadiran seekor ular tedung tikus sepanjang 1.2 meter yang tersangkut pada jaring ikan di luar sebuah rumah di Kampung Debak Laut di sini, mencetuskan detik cemas buat sebuah keluarga semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada orang awam yang dikenali sebagai Faiz Mahiden.
Menurut beliau, panggilan tersebut diterima pada 8.55 malam. Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi bagi memberikan bantuan.
”Pihak PKOD Debak telah menggerakkan seramai empat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ke lokasi kejadian dalam tempoh dua minit selepas panggilan diterima, iaitu pada 8.57 malam.
”Pasukan penyelamat yang diketuai oleh Sarjan Mohd Yusuf Laili bersama tiga anggotanya menaiki kenderaan persendirian untuk ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pusat kawalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai keanggotaan tersebut, Mohammad Noor memberitahu operasi itu turut disertai oleh Prajurit Muhammad Azri Samsawie, Prajurit Andrian Sumok, dan Prajurit Nur Ariffin Ahmad.
Katanya, pasukan penyelamat yang dilengkapi dengan tiga buah topi keledar keselamatan, tiga pasang sarung tangan, sebatang penjerut, dan sebatang penyepit itu tiba di pekarangan rumah pengadu pada 9.02 malam.
Berdasarkan kronologi kejadian, pengadu menyedari kehadiran reptilia berbisa tersebut selepas mendapati ia tersangkut pada jaring ikan yang disidai di bahagian depan luar rumahnya.
Atas faktor keselamatan diri dan keluarga, pengadu bertindak segera menghubungi APM untuk bantuan kecemasan.
”Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas terus menghampiri subjek dan mengesahkan spesies reptilia berkenaan.
“Anggota APM kemudiannya berjaya menangkap ular tedung tikus tersebut dengan menggunakan teknik menyepit dan menjerut dalam tempoh 12 minit sahaja,” jelas Kapten Mohammad Noor.
Operasi menangkap reptilia berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada 9.14 malam.
Oleh Adi Safarman