Ular tedung selar tujuh kaki ditangkap dalam bilik mandi

Facebook
WhatsApp
BERJAYA DITANGKAP…Anggota APM Lundu menangkap ular tedung selar sepanjang kira-kira tujuh kaki yang ditemukan di sebuah rumah di Lundu. Foto APM Lundu

LUNDU: Kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang 2.1 meter di dinding bilik mandi sebuah rumah di sini mencemaskan penghuninya, semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lundu memaklumkan, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lundu menerima panggilan kecemasan daripada orang awam selepas reptilia berwarna hitam itu ditemukan di kediaman berkenaan.

Susulan panggilan tersebut, anggota APM Lundu dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Pemeriksaan mendapati reptilia tersebut merupakan ular tedung selar sepanjang 2.1 meter yang berada pada dinding bilik mandi rumah pengadu.

Anggota APM kemudian berjaya menangkap ular berkenaan menggunakan teknik menjerut.

Operasi tersebut berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.