

LUBOK ANTU: Ketenteraman sebuah keluarga di Kampung Melayu terganggu apabila seekor ular tedung selar ditemui bersembunyi di dalam stor rumah mereka dalam kejadian awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik rumah yang menyedari kehadiran reptilia berbisa tersebut ketika sedang mengemas barangan di ruang stor berkenaan.
Susulan laporan itu, seramai tiga anggota APM Lubok Antu telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menangkap ular tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada penghuni rumah.
Setibanya di lokasi, anggota penyelamat mendapati seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira satu meter berada di celah-celah barangan stor tersebut sebelum berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas dalam tempoh yang singkat.
Pihak APM menjelaskan bahawa ular tersebut dipercayai menceroboh masuk ke dalam kediaman itu untuk mencari tempat yang gelap dan sejuk ekoran fenomena cuaca panas yang melanda kawasan sekitar ketika ini.
Tabiat reptilia tersebut yang gemar bersembunyi di kawasan terlindung dan lembap menjadikan ruang stor yang dipenuhi barangan sebagai lokasi ideal untuk mereka berlindung daripada suhu panas di luar.
Sehubungan itu, APM menasihatkan orang awam supaya sentiasa memastikan kawasan stor dan persekitaran rumah sentiasa bersih serta bebas daripada serpihan kayu atau timbunan barang yang berisiko menjadi sarang persembunyian ular.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak sesekali cuba menangkap sendiri haiwan berbisa tersebut dan segera menghubungi APM Lubok Antu di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999 untuk bantuan profesional bagi menjamin keselamatan nyawa.
Oleh Adi Safarman