
MARUDI: Seekor ular tedung kapak sepanjang 1.5 meter yang bersembunyi dalam beg pakaian berjaya ditangkap Pasukan Anggota Pertahanan Awam (APM) Marudi petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri memberitahu, pasukan APM menerima panggilan kecemasan daripada orang awam minta bantuan untuk menangkap reptilia tersebut di Lot 889, Kampung Narum Marudi pada 7.58 petang.
Sebaik menerima panggilan kecemasan tersebut anggota APM dari Skuad Bravo bergerak ke lokasi kira-kira satu kilomter dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi diketuai L/Kpl (PA) Kamil Tahir bersama dua anggota lain.
Setibanya ke lokasi Skuad Bravo berjumpa dengan pengadu untuk mendapatkan maklumat kedudukan reptilia bersembunyi sebelum operasi dijalankan.
Reptilia berkenaan berjaya ditangkap dengan menggunakan kaedah menyepit dan menjerut menggunakan peralatan khas.
Skuad Bravo bergerak pulang ke PKOD sebaik operasi selesai dijalankan.
Oleh Jiku Juguong