
SARIKEI: Seorang penghuni rumah di Lorong 4, Jalan Puyu, berdepan detik mencemaskan apabila menemui seekor ular tedung hitam sepanjang kira-kira tiga meter bersembunyi di bawah sangkar kucing di halaman belakang rumahnya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 9.28 pagi tadi.
“Empat orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati ular tedung hitam tersebut masih berada di bawah sangkar kucing,” katanya.
Shahrol berkata demikian ketika dihubungi media, hari ini.


DITANGKAP…..Anggota APM Sarikei berjaya menangkap ular tedung hitam. Foto APM Sarikei
Tambahnya, ular berjaya ditangkap dalam tempoh lebih kurang 30 minit menggunakan teknik menyepit dan menjerut.
“Khidmat khas menangkap ular tedung hitam selesai sepenuhnya pada 10.18 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek