

LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lubok Antu bertindak pantas menangani insiden penemuan seekor ular tedung sepanjang sekitar 1.5 meter di sebuah kedai runcit di Pasar Lubok Antu, sekali gus berjaya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Menurut kenyataan APM Lubok Antu, Bilik Gerakan MER’S 999 Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) telah menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut yang berlaku di Kedai Tan Kiang Seng.
Panggilan kecemasan itu dibuat oleh seorang pengadu dikenali sebagai Aqquelshen yang menyedari kehadiran reptilia berbisa berkenaan berada di bawah rak barang di dalam premis berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya serta ahli keluarga.
Sejurus menerima maklumat, pasukan MyASPA-CHARLIE APM Lubok Antu telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menangkap ular tersebut dengan segera.
Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati ular tedung berkenaan masih berada di bawah rak barangan, sekali gus memerlukan tindakan berhati-hati memandangkan sifatnya yang agresif dan berbisa.
Operasi menangkap ular itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh singkat dengan menggunakan teknik menyepit yang selamat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh APM.
Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan sepanjang operasi tersebut, dan keadaan di premis berkenaan kembali terkawal selepas ular itu berjaya ditangkap dan dialihkan
APM Lubok Antu turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, khususnya di kawasan pasar dan premis lama, serta tidak bertindak sendiri sekiranya berdepan dengan situasi berbahaya.
Sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan. Untuk sebarang kecemasan, orang awam boleh menghubungi APM Lubok Antu di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman